Suatu ketika, rasanya dalam tahun 2007. Ketika itu saya menjadi guru sandaran di SMK Baru Bintulu. Ketika itu saya mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Suatu petang ketika saya sedang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam di kelas Tingkatan 5S1 dan 5S2. Selepas mengajar saya memberikan latihan untuk disiapkan kepada pelajar-pelajar saya.
Semasa saya sedang duduk untuk menyemak jadual kelas saya yang seterusnya, seorang pelajar perempuan berjalan ke arah saya seraya memberi salam.
“Assalamualaikum Ustaz Black?”
Ketika di SMK Baru saya lebih dikenali dengan gelaran Ustaz Rock’ atau ‘Ustaz Black’. Saya tidak tahu kenapa. Tetapi saya rasa terhibur juga sebab itu mungkin sebagai tanda penghargaan pelajar-pelajar kepada saya.
Mungkin juga kerana saya suka menggunakan baju warna hitam, kemeja hitam dan baju melayu hitam ketika mengajar di dalam kelas dan baju tshirt dan jersi juga berwarna hitam.
Ada juga saya menggunakan baju berwarna lain. Tapi saya selesa dengan warna pakaian sebegitu. Sampai sekarang bekas pelajar SMK Baru yang mengenali saya memanggil saya dengan kedua nama ini.
“Waalaikumsalam. Ada apa Dayang? Ada yang Dayang tak faham ke berkenaan dengan soalan yang ustaz berikan tadi?”
“Takdalah ustaz. Mak saya kirim salam. Mak saya mintak ustaz datang ke rumah malam ni sebab ada benda yng mak nak minta tolong.”
“Kalau malam ni tak dapat Dayang. Sebab malam ni ustaz ada mengubat orang kat Kampung Jabai. Kalau malam esok Insyaallah ustaz free.”
“Malam esokpun boleh jugak ustaz. Nanti saya bagitahu mak saya.”
“Kalau macam tu baiklah Dayang. Malam esok ustaz datang. Tapi sebelum tu kenapa dengan mak Dayang? Sakit ke?
“Takdalah ustaz. Mak sihat. Cuma macam ada masalah sikit Ustaz Black.”
“Masalah macamana tu?”
“Ada tak minggu lepas saya bagitahu ustaz yang mak saya ada berubat dengan sorang bomoh ni. Dia mengaku kalau merawat pesakit dia akan membacakan Al Quran dan meminta pesakit untuk mengamalkan zikir-zikir. Zikir-zikir tersebut katanya adalah menggunakan nama-nama Allah sahaja.”
“Beberapa bulan lepas bomoh tu ada tolong mak saya Ustaz Black. Semasa bomoh tu rawat mak saya, tiada apa-apa yang berlaku. Saya tak tahu apa yang dia baca. Cuma kedengaran ustaz tu menyebut Bismillah sahaja. Yang lain saya tak dapat nak cam sebab cuma mulut dia sahaja yang terkumat kamit.”
“Mak kamu sakit apa sebenarnya Dayang?”
“Entahlah ustaz. Sebenarnya mak saya cuma sakit-sakit lutut. Mak puas pergi ke hospital. Doktor kata lutut mak saya dah haus. Bergesel. Itu yang sakit tu. Mungkin sakit orang yang mula berumur ustaz. Tetapi selepas berubat dengan ustaz tu kaki mak saya semakin sakit. Dulu lutut je. Sekarang ni kedua belah kaki mak saya sakit.”
“Mak saya takdelah tua sangat ustaz. Dalam awal 50an macam tu. Tapi sangat siksa mak saya nak berdiri dan duduk ustaz. Kalau nak berjalan tu memang ada masalah ustaz. Tapi perlahan-lahanlah. Kadang-kadang apabila saya memapah mak saya untuk masuk ke dalam tandas ke, dapur ke, naik kereta ke, punyalah berat badan mak saya ustaz. Sedangkan badan mak saya kurus.”
Saya diam mendengar penjelasan Dayang. Saya juga cuba untuk mencari kesimpulan sementara sama ada sakit yang dideritai oleh ibu kepada Dayang ada unsur-unsur gangguan jin atau tidak.
“Semasa ustaz tu merawat kamu ada kat situ tak Dayang?”
“Ada ustaz. Saya tengok dari mula sampai habis.”
“Ada apa-apa yang menarik tak?”
“Tak ada ustaz. Cuma selepas rawatan tu bomoh tu suruh mak amalkan zikir Asma ul Husna ‘Ar Rahmaan Ar Rahiim’ berulang-ulang kali. Ustaz tu minta supaya mak mengamalkan zikir tersebut 2000 kali sehari semalam. Zikir tu wajib dibaca setiap hari hingga mak saya sembuh. Pada awal mak mengamal zikir tersebut Alhamdulillah. Sakit mak sembuh ustaz. Tetapi lama-kelamaan jadi suatu masalah pulak.”
“Masalah macamana pulak tu Dayang?”
“Macam ni ustaz. Walaupun mak dah sembuh tetapi mak mesti amalkan jugak zikir tu. Kalau tidak mak akan sakit balik. Malah lebih teruk daripada sebelumnya. Pendek kata hari-hari mak kena amalkan zikir tu. Kalau mak baca kurang contohnya mak cuma baca 1999 kali sahaja mak akan jatuh sakit balik. Atau kalau mak baca terlebih contohnya mak baca sebanyak 2001 kali pun mak juga akan sakit.”
“Jadi bebanan pulak mak terpaksa jaga semua zikir-zikir ni. Bukan mak tak nak mengamalkan zikir-zikir ni ustaz tapi akhirnya mak terperangkap dengan permasalahannya sendiri. Lagi satu ustaz. Bomoh tu ada serahkan minyak kepada mak untuk diletakkan di rumah. Untuk penjaga rumah katanya. Bomoh tu kata minyak penjaga rumah ni dibuat dari tulang bangkai kucing. Tulang tu dihancurkan dan direndam bersama minyak kelapa. Itu saja yang saya tahu ustaz. Sebab itulah mak mintak tolong ustaz untuk datang ke rumah.”
“Kalau macam tu baiklah Dayang. Insyaallah malam esok ustaz akan datang ke rumah ok.”
“Pukul berapa ustaz nak datang?”
“Insyaallah lepas isya Dayang. Selepas urusan ustaz selesai di rumah.”
“Terima kasih ustaz.”
“Sama-sama.”
Selepas itu Dayang kembali duduk di kerusinya dan saya kembali memeriksa jadual mengajar kelas saya.
BERTANDANG KE RUMAH DAYANG
Keesokkan malamnya saya pergi ke rumah Dayang. Rumah ibu Dayang adalah rumah peninggalan arwah neneknya. Saya agak ‘familiar’ dengan rumah tersebut kerana bapa saudara Dayang iaitu adik bongsu kepada ibu Dayang adalah kawan saya sewaktu saya belajar di SRB St. Anthony dulu (Sekarang ni sudah menjadi SK St. Anthony.
Di bawah rumah merekalah kami kadang-kadang lepak bersama. Bermain guli, bermain ‘Tibeng’, ‘Zero Point’ dan melalak sambil menyanyikan lagu ‘Masih Aku Terasa’ yang dipopularkan oleh Kumpulan Gersang.
Dulu kampung-kampung di sekitar kami agak dekat dan bersebelahan. Dulu kami sekeluarga menetap di Kampung Dagang. Tapak rumah nenek saya sekarang telahpun menjadi ‘Kemena Plaza Hotel’ (Dulu dikenali sebagai Plaza Hotel sahaja).
Di sebelah hulu kampung kami pula adalah Kampung Sinong, Kampung Masjid, Kampung Datok, Kampung Sebiew dan Kampung Baru.
Sekarang Kampung Dagang sudah tidak ada lagi. Sudah menjadi bandar. Sedangkan di sebelah kampung kami, iaitu Kampung Sinong yang lebih dikenali sebagai ‘Sinong Texas’ pada penghujung 80an dulu dan rumah-rumah di kampung sebelah hulu pula sedang dalam proses akan bertukar perlahan-lahan menjadi bandar.
Ketika sampai di kaki rumah keluarga Dayang, saya memberi salam. Pintu rumah mereka memang terbuka. Sementara menunggu jawaban salam saya, saya memerhati sekeliling kawasan rumah mereka.
Saya masih ingat lagi semasa saya bermain-main di sekitar kawasan rumah ini. Masih segar di ingatan.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam. Owh..Ustaz Malik. Jemput naik ustaz. Mak ada kat atas. Mak baru lepas habis solat.”
“Ayah kamu mana Dayang?”
“Ayah tak ada ustaz. ayah pergi ke Pandan, Sebauh. Ziarah adik ayah yang sedang sakit lumpuh.”
Dayang menyambut saya di muka pintu. Saya masuk dan memilih untuk duduk di kerusi sofa hitam yang empuk.
“Saya ke dalam dulu ustaz. Nak buatkan air dulu.”
“Baiklah Dayang. Apa saja makanan yang ada kat dapur tolong keluarkan semua,” kata saya sambil berseloroh dengan Dayang.
“Baiklah ustaz,. Nanti saya sediakan nasi, beras, periuk, belanga kat ustaz ok. Hahaha..”
Suara Dayang kedengaran hingga ke ruang tamu walaupun kelibatnya sudah tiada. Saya memerhati setiap ruang pada rumah arwah nenek Dayang ini.
Dindingnya ada yang mula mereput. Tiang-tiang kayu belian kelihatan sudah tua walaupun masih ianya mampu bertahan untuk puluhan tahun lagi.
Terdapat juga gambar pemandangan-pemandangan dan bunga-bunga. Dulu sewaktu kecil saya pernah dijemput oleh arwah nenek Dayang untuk makan di ruang tamu ini selepas kami penat bermain.
Gambar pemandangan dan bunga tersebut telah ada semasa saya masih kecil dahulu dan gambar-gambar tersebut masih bertahan sehingga ketika saya datang ke rumah untuk merawat ibu dayang ketika itu.
Sekarang ini rumah nenek Dayang telah roboh. Kerana terlalu tua dan lama. Sekarang Dayang dan keluarganya telah berpindah ke rumah mereka yang baru di Kampung Assayakirin.
Saya kemudiannya memandang ke arah sudut sebelah kiri siling rumah mereka di hadapan saya. Lapis kayu siling tersebut kelihatan agak terbuka. Mungkin paku penahannya sudah tercabut.
Maklumlah rumah tersebut sudah berusia seratus tahun lebih. Kemudian saya mengalih pula pandangan saya ke arah sudut yang ada di sebelah kanannya. Yang juga sedikit terbuka.
Ketika mata saya sedang memerhati pada sudut sebelah kanan tersebut saya rasakan seperti ada sesuatu yang berbentuk seperti tangan berwarna hitam cuba untuk mengangkat dan menutup balik lapis terbuka yang saya perhatikan awal-awal tadi.
Saya cepat-cepat memerhatikan kembali pada sudut sebelah kiri. Ternyata lapis papan tersebut sudah tertutup. Saya menggosok-gosokkan mata saya beberapa kali. Saya rasa seperti sedang diperhatikan oleh seseorang.
“Astaghfirullahal azhim..”
Saya mula merasa takut. Apa lagi dalam keadaan bersendirian sahaja di luar ruang tamu. Sedangkan Dayang dan ibunya pula belum kelihatan lagi. Apabila saya merasa sangat takut, saya teringat akan kata-kata saya sendiri.;
“Malik, apabila kamu takut, di mana kamu meletakkan Allah dalam diri kamu?”
Apabila saya teringat kata-kata tersebut, perasaan takut saya berkurang kerana saya tahu bersama saya ketika itu adalah Allah, yang menciptakan saya dan makhluk tersebut. Tetapi sebagai manusia, memang fitrahnya pasti akan adanya rasa takut.
Cuma saya belajar untuk mendidik hati bahawa di mana sahaja saya berada, sesungguhnya Allah terlalu dekat dengan saya. Walaubagaimanapun kawan-kawan saya tetap tahu bahawa saya seorang yang penakut sampai sekarang. Jadi nikmatilah hidup ini apa adanya..
Selepas itu saya berdiri dan pergi ke arah pintu masuk. Saya duduk di atas tangga paling atas sekali. Kemudian saya masukkan selipar berwarna merah di kaki. Kalau apa-apa yang terjadi, senang untuk saya terjun ke bawah dan berlari sekuat mungkin.
Agak lama juga saya duduk di pintu masuk rumah nenek Dayang. Saya tidak berani menghadap siling yang terbuka tadi buat sementara waktu meskipun siling tersebut sudah tertutup.
Biarlah badan saya yang menghadap keluar. Di dalam fikiran saya masih lagi terfikir dengan tangan di atas siling tadi. Untuk menghilangkan fokus saya terhadap tangan itu saya cuba untuk hiburkan hati saya dengan menyanyikan lagu ‘Crazy Night’ nyanyian Kumpulan Loudness.
“Rock And Roll Crazy Night,
You Are The Heroes Tonight,
Rock And Roll Crazy Night,
You Are The Hero..”
DISAPA OLEH NENEK DAYANG
Tidak lama kemudian saya dikejutkan dengan suara nenek Dayang.
“Hai Malik. Kenapa duduk di pintu. Sudah lama kamu tak datang menjenguk ke rumah nenek. Mari duduk kat sebelah nenek ni.”
Saya yang tersentak ketika itu terus menjawab;
“Baiklah nek. Saya naik sekarang.”
Suara ibu Dayang agak garau ketika itu. Mungkin disebabkan sakit yang dideritainya selama ini. Saya kemudiannya berdiri sambil membuang debu yang melekat di bahagian punggung seluar saya dan melangkah masuk ke dalam ruang tamu.
“Nenek..Nenek..Nenek di mana?”
Saya memandang ke seluruh ruang tamu. Ternyata saya seorang sahaja yang ada ketika itu. Sedangkan saya mendengar dengan jelas suara neneka saya menjemput saya untuk masuk ke dalam tadi.
Tiba-tiba saya teringat akan sesuatu. Nenek Dayang sebenarnya sudah lama meninggal dunia. Patutlah saya terdengar suara perempuan yang garau tadi.
Kenapa saya boleh tidak perasan tadi yang nenek Dayang sudah meninggal. Saya siap-siap menyebut nama nenek tadi.
Sekali lagi jiwa saya mula tidak tenteram. Adalah lebih baik sekiranya tadi saya membaca Al Quran dari menyanyi lagu Kumpulan Loudness.
Perasaan takut kembali mencengkam. Patutlah Allah hadirkan gangguan ini. Kerana saya lalai apabila datangnya bantuan Allah tadi dalam bentuk merasa sedikit berani.
Saya kemudiannya beristighfar berulang kali. Selepas itu saya bacakan sebuah ayat dari Al Quran;
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Surah Qaaf: 16)
Setelah itu jiwa saya merasa tenang. Lebih tenang dari sebelumnya. Saya melangkah masuk ke ruang tamu lalu duduk kembali di kerusi sofa hitam tadi.
Pandangan saya terus kepada siling sebelah kiri yang saya lihat ada tangan yang menutupnya tadi. Perasaan takut tidak seperti tadi.
Malah rasa ingin tahu pula menguasai diri. Perasaan ingin tahu apakah yang ada di sebalik siling yang terbuka dan tertutup dengan sendirinya itu tadi.
Saya kemudian berdiri dan melangkah ke arah siling sebelah kiri tadi. Tempat saya melihat sebelah tangan berwarna hitam yang menutup siling yang terbuka tersebut.
Saya memerhatikan keadaan sekeliling di kawasan siling tersebut. Mencari tanda-tanda akan kewujudan sesuatu. Semasa yang sedang memerhati, tiba-tiba saya sekali lagi rasa diperhatikan.
Entah siapa atau apa saya sendiri tidak tahu.
Yang saya perasan seolah-olah saya mendengar bunyi sesuatu seperti bunyi papan yang dibuka orang. Dari anak mata saya saya rasakan seperti papan siling d sebelah kanan pula yang terbuka perlahan-lahan.
Dengan pantas saya menoleh dan memandang ke arah siling di sebelah kanan tersebut.
Papan yang terbuka tersebut seperti ada tangan yang menutupnya secara perlahan-lahan. Tetapi papan tersebut tidak tertutup secara keseluruhannya. Ada sedikit ruang yang terbuka.
Saya memberanikan diri untuk melangkah menuju di hadapan siling sebelah kanan tersebut.
Saya cuba untuk memerhati dengan lebih terperinci papan ruang kecil siling yang terbuka itu. Keadaan di dalamnya sangat gelap.
Tiada apa yang boleh saya lihat kecuali saya seperti melihat sepasang mata yang berwarna merah yang memerhati setiap langkah perjalanan saya tadi.
Saya kemudiannya pergi ke pintu masuk ruang tamu dan di tangan saya ada selipar berwarna merah kepunyaan tuan rumah tadi.
Saya melangkah kembali ke tempat siling sebelah kanan tadi dan saya lemparkan selipar sebelah kanan ke dalam lubang tersebut. Selipar itu menyentuh papan yang terbuka tersebut dan kemudian jatuh bergolek ke lantai.
Saya perhatikan kali kedua. Ternyata mata berwarna merah itu sudah tiada lagi. Saya tidak pasti apakah benda tersebut. Untuk menghiburkan hati saya, saya cuma beranggapan bahawa benda itu tadi adalah tikus.
Tetapi mana ada tikus yang kepala dan matanya sebesar kepala dan mata manusia. Saya melangkah dengan lebih dekat lagi. Sekarang kedudukan papan yang terbuka itu betul-betul di atas kepala saya.
Selipar jepun berwarna merah yang terjatuh tadi saya ambil semula lalu saya pegang dengan kuat dan di dalam keadaan berjaga-jaga.
Manalah tahu kalau-kalau kepala sebesar manusia itu cuba untuk memunculkan diri dari papan yang terbuka tadi. Senang untuk saya menamparnya. Itupun kalau saya berani dan ternyata saya tetap seorang yang penakut.
Agak lama juga saya menunggu di situ. Tiada kesan bunyi dan apa-apa pergerakan dari atas siling. Sepi sahaja. Begitu juga di dalam ruang tamu. Cuma yang merisaukan saya adalah rasa diperhatikan oleh masih ada lagi.
Saya perhatikan papan yang terbuka di sebelah kiri dan kanan. Tiada apa-apa yang berlaku. Di penghujung sebelah kanan adalah kain tabir yang menutupi ruang untuk masuk ke dalam dapur. Tempat Dayang masuk tadi.
Kain itu saya perhatikan bergerak-gerak. Saya tidak berani untuk melangkah ke sana dulu. Kerana menurut saya itu mungkin kucing yang sedang bermain-main di sebalik tabir. Saya tidak suka kepada kucing. Begitu juga adik beradik dan ibu bapa saya. Saya juga tidak tahu kenapa.
Saya terus merenung kain tersebut. Senjata utama saya iaitu selipar jepun merah masih kukuh di genggaman. Kemudian saya beristighfar berulang-ulang kali kerana kain tabir berwarna putih tersebut bergerak dan bergolong sendiri.
DIGANGGU
Kain tabir itu bergerak kuat dan bergolong berulang kali dan akhirnya bentuknya menyerupai mayat yang dibungkus, tergantung dan melompat-lompat perlahan. Cuma pada bahagian kepalanya sahaja yang tidak ada.
Tiba-tiba papan yang terbuka pada siling di sebelah kiri seperti dipijak oleh sesuatu. Papan siling tu mula terbuka. Allahu rabbi. Dalam berani ada juga perasaan takut saya dan di dalam perasaan takut ada juga rasa beraninya.
Oleh kerana kedudukan saya lebih dekat dengan papan siling yang terbuka di sebelah kiri, lalu saya mengambil keputusan untuk bersedia. Apa-apa yang melompat ke bawah ruang taMu melompatlah. Saya tidak peduli.
Kepala saya tetap mendongak ke atas sambil menanti apa sahaja yang keluar dari situ. Dengan tiba-tiba saya mendengar suara orang berdehem berulang kali di sebelah kanan. Kain tabir yang bergolong tadi bergerak-gerak.
Saya menjadi terjekut apabila saya melihat ada sepotong kepala di atas kain tabir tersebut. Ternyata kepala ibu Dayang. Saya serba salah. Sama ada perlu tidak untuk saya membaling selipar di tangan saya kepada kepala ibu Dayang.
Kalau itu benar-benar jin, saya berdoa di dalam hati semoga lemparan saya ini betul-betul tepat terkena kepala makhluk tersebut. Tetapi bagaimana pula kalau itu betul-betul wajah ibu Dayang?
Kalau betul-betul, mati saya kalau diangkat dan dibaling ibu Dayang ke bawah rumah. Dalam keadaan tegang itu saya sempat untuk tersenyum sendiri.
Kepala ibu Dayang memerhari saya sambil tersenyum dan kemudiannya memandang ke arah papan siling di sebelah kanan yang terbuka.
“Malik. Apa yang kamu jenguk-jenguk kat atas tu? Bila kamu sampai?”
“Baru je kak? Saje je kak saya jenguk-jenguk kat lubang ni. Macam bunyi tikus je.”
Kerisauan dan debaran mula berkurang. Saya pasti perempuan di hadapan saya ini adalah benar-benar ibu kepada Dayang.
“Rumah kami ni memang macam tu Malik. Rumah kampung. Banyak sangat tikus. Tapi yang peliknya kadang-kadang atas siling rumah kami ni macam ada je orang berjalan. Bunyi orang berlari. Kadang-kadang risau jugak sebab takut kalau betul-betul pencuri.”
“Dahlah cuma kami tiga beranak je kat rumah ni. Tak macam dulu. Masa korang Awang selalu main-main kat bawah rumah ni dulu. Semua kami adik-beradik tinggal di rumah ini. Sekarang semua dah ambil haluan masing-masing. Tinggal kami tiga beranak saja lagi tinggal di sini.”
“Tak apalah kak. Rumah lama memang macam tu. Apa lagi rumah jenis yang diperbuat dari kayu ni kak.”
“Malik. Kamu tolong kakak buka ikatan tabir ni dulu. Dah macam pocong dah kakak kat sini. Kepala je nampak. Siapalah yang ikat tabir ni macam ni tadi. Si Dayanglah tu.”
Saya cuma tersenyum sahaja. Saya tidak berani untuk menjelaskan apa yang terjadi tadi. Risau-risau mereka akan takut.
Selepas saya membuka ikatan tabit tersebut ibu Dayang berjalan menuju ke meja ruang tamu. Tangannya memegang dulang yang berisi teko, cawan dan sedikit kuih-muih.
“Kenapa kau pegang selipar tu Malik?? Selipar Kakak tu.”
“Hehehe..Tak ada apa-apa kak. Saya takut kalau ada tikus yang terjatuh dari lubang papan ni tadi.”
“Aie..Hari tu dah yah Si Dayang dah tutup balik papan tu. Siap ayah Dayang pukul pakai penukul dan paku. Terbuka balik ke Malik?”
“Ya kak.”
“Entahlah Malik. Kalau tak sebelah kiri ni, yang sebelah kanan tu yang terbuka. Macam ada hantu je yang buka Malik. Hahaha..”
Saya suma tersenyum sebagai tanda respon kepada ibu Dayang. Saya segera teringat akan apa yang terjadi tadi. Sambil itu saya duduk di salah satu kerusi yang ada di ruang tamu.
“Semenjak kakak minta tolong bomoh tu ubatkan kakak, macam-macam yang terjadi Malik. Kaki kakak makin teruk sakit dan rumah kami macam-macam yang terjadi. Macam ada orang lain yang tak nampak tinggal bersama kami. Makanan di rumah kami cepat habis.”
“Seperti ada orang yang makan lebihan nasi dan lauk. Kadang-kadang barang di ruang tamu ni berselerak. Ada juga beberapa kali nama kami dipanggil selain dari suara orang memberi salam. Kat atas siling ni tak payah ceitalah. Selalu sahaja bunyi tapak kaki orang melangkah.”
“Kakak mintak tolong apa kat bomoh tu kak?”
“Alah. Kakak mintak dia ubatkan kaki kakak dan pagarkan rumah kami sekali. Selepas daripada itulah rasanya gangguan kepada kami semakin kuat. Kakak risau terjadi sesuatu yang tak diingini nanti. Sebab itulah kakak mintak Malik datang untuk rawat kakak dan pagar sekali rumah ini.”
Saya cuba untuk membuat kesimpulan sementara apa yang berlaku kepada ibu Dayang, keluarga dan rumah mereka. Saya perhatikan ibu Dayang meletakkan dulang air di atas meja. Kemudian ibu Dayang duduk di salah satu kerusi di hadapan saya.
“Malik, kakak nak minta tolong Malik ubatkan kakak. Dah lama kakak sakit. Kalau Malik tak dapat tak apalah.”
“Insyaallah kak. Boleh. Kenapa pulak tak boleh.”
“Kakak nak tauk macamana Malik ubat orang.”
“Saya tak ubat orang kak. Saya cuma bacakan Al Quran dan doa daripada Rasulullah. Bacaan saya saya serah kepada Allah supaya bacaan saya itu bernilai ibadah. Ketika saya bacakan Al Quran dan doa ni saya meminta kepada Allah untuk memberi perlindungan kepada saya sekeluarga dan keluarga pesakit. Itu saja kak.”
“Owh..Begitu. Baru kakak faham. Dah lama ke Malik tolong-tolong orang ni?”
“Takdalah lama kak. Baru jugak. Dari tahun 2004.”
“Lama juga tu Malik.”
Saya cuma mengangguk-anggukan kepala saya sahaja sambil melemparkan senyum kepada ibu Dayang. Sedang kami asyik bercerita, tiba-tiba Dayang sambil tersenyum kepada kami.
“Minta maaf ustaz. Saya baru lepas mandi. Apa yang ustaz dan mak buat kat dapur tadi. Ketawa terbahak-bahak. Sampai ke dalam tandas suara mak dan ustaz ketawa. Tiba-tiba saya rasa seram ustaz. Macam bukan ketawa manusia je.”
“Ish..kamu ni Dayang. Mana ada mak dan Malik pergi ke dapur tadi. Kami kat ruang tamu sahaja dari tadi. Mabuk kamu ni Dayang. Hahaha..”
Saya cuma tersenyum memandang gelagat Dayang dan ibunya. Sedangkan Dayang pula seperti memikirkan sesuatu. Mungkin Dayang masih tidak dapat meneka apa yang berlaku.
Jam sudah menunjukkan tepat pada pukul 9.00 malam.
Saya sudah bersedia untuk memulakan rawatan saya. Saya meminta ibu Dayang untuk mengambil wuduk dulu dan memakai telekung sebelum rawatan dimulakan.
“Kak, kakak pergi ambil wuduk dulu. Lepas tu kakak pakai telekung ok. Nanti saya tunggu di sini.”
“Baiklah Malik. Tunggu sekejap k. Nanti Dayang temankan Malik kt sini.”
Ibu Dayang kemudiannya bangun dari tempat duduk dan melangkah ke arah tabir tadi untuk masuk ke dapur. Mungkin menuju ke tandas untuk mengambil air wuduk. Selepas itu Dayang memandang ibunya dan berkata;
“Mak, mak tak nak saya temankan mak ke?”
“Tak apalah Dayang. Mana ada hantu kat rumah kita ni. Jin dan setan banyak. Hehehe..”
“Ish..Mak ni. Celupar betul.”
“Betullah. Kan Malik. Kita tak tahu siapa yang sedang memerhatikan kita.”
Saya mula naik seram dengan apa yang dikatakan oleh ibu Dayang. Sepertinya ibu Dayang dapat menghidu yang saya seorang yang penakut. Jiwa saya mula menjadi tidak tenteram. Entah kenapa. Selepas itu ibu Dayang pergi meninggalkan kami.
Saya bacakan Surah An Naas sebagai asbab perlindungan Allah kepada saya. Saya bacakan berulang kali sehinggalah keresahan jiwa saya hilang secara perlahan-lahan.
Saya dan Dayang kemudiannya bercerita tentang banyak perkara. Pelajaran, pengalaman dan kisah-kisah lama sewaktu saya selalu bermain di rumah ini suatu ketika dahulu.
Hampir 20 minit berlalu. Ibu Dayang belum juga keluar dari tandas. Saya meminta Dayang untuk menjenguk ibunya di dapur. Dayang lalu bergegas masuk ke dalam. Lama juga ibunya di dalam tandas. Fikir saya di dalam hati.
Tidak lama kemudian Dayang masuk balik ke ruang tamu. Wajahnya agak pucat.
“Dayang, kamu kenapa?”
MENCARI IBU
“Ustaz masa saya ke dapur tadi saya terus cari mak di tandas. Mak tak ada di situ. Kemudian saya cari mak di bilik. Ternyata mak sedang tidur. Saya kejutkan mak dan saya tanya kenapa mak tiba-tiba tidur? Maka kata mak tidur dari maghrib tadi sementara menunggu ustaz datang.”
Allahu rabbi. Jadi, siapa yang bersama saya dan Dayang tadi? Kenapa kami tidak perasan bahawa ‘ibu Dayang’ itu tadi adalah makhluk bernama jin. Saya rasa kami tidak dapat nak berlengah lagi. Sekali lagi saya minta kepada Dayang untuk membawa ibunya ke ruang tamu.
Dayang mengangguk tanda faham. Dia meminta izin kepada saya untuk masuk ke dalam bilik ibunya dan membawa ibunya keluar ke ruang tamu. Walaupun jelas terpancar kekhawatiran pada wajahnya.
Saya menunggu dengan penuh sabar. Juga keseorangan. Saya isi masa tersebut dengan membaca Surah Kursiy. Ketika itu saya terdengar bunyi tapak kaki orang berlari dan berjalan di atas siling. Juga bunyi suara orang berbisik dan ketawa. Betul-betul di belakang saya.
Cuma saya tidak mahu menoleh sahaja. Saya tidak mengendahkan kesemua bunyi-bunyi tersebut. Saya serahkan segalanya kepada Allah sahaja. Kerana saya tahu Allah ada bersama-sama saya ketika saya senang atau susah.
Tidak lama kemudian Dayang dan ibunya yang lengkap dengan telekung muncul dari celah-celah tabir.
“Assalamualaikum Malik. Kakak minta maaf. Kakak tertidur selepas maghrib tadi. Sementara menunggu Malik datang. Kaki kakak tiba-tiba rasa sakit dan berat sangat.”
“Waalaikumsalam kak. Saya yang patut minta maaf kak sebab ganggu masa kakak.”
“Tak adalah Malik. Malik, kakak nak mintak tolong ubatkan kakak. Kakak dah tak tahan lagi. Mungkin Dayang dah cerita semuanya kepada Malik.”
“Ya kak. Dayang dah ceritakan semuanya kepada saya. Jadi tak perlulah rasanya kakak ceritakan kembali masalah kakak. Rasanya lepas ni kita boleh mulakan rawatan kita kak.”
“Baiklah Malik. Apa yang perlu kakak buat?”
“Macam ni kak. Lepas ni saya akan bacakan Al Quran dan doa daripada Rasulullah. Apa yang kakak perlu lakukan ialah kakak cuma dengar sahaja dengan khusyuk. Jangan ikut apa yang dibaca dan jangan baca benda lain. Itu saja kak. Dayang, mintak tolong sediakan baldi dan tisu untuk ustaz k. Manalah tahu kalau-kalau mak kamu muntah nanti.”
“Baiklah ustaz. Sekejap k. saya pergi ambil dulu.”
Sementara menunggu Dayang, saya meminta ibunya untuk duduk di atas lantai sahaja dan duduk dalam keadaan yang dia selesa. Ibu Dayang memilih untuk duduk sambil melunjurkan kakinya di samping kedua belah tangannya lurus ke depan sambil memegang betis.
Tidak lama kemudian Dayang masuk ke ruang tamu sambil membawa baldi besar dan tisu di tangannya.
Selepas itu saya mulakan bacaan saya dengan membaca Taawwudz dan Basmalah. Kemudian dengan bacaan Surah Al Fatihah, lima ayat pertama dari Surah Al Bacarah, Surah Kursiy, dua ayat terakhir dari Surah Al Baqarah, Surah As Shafaat: ayat 1 hingga 10 dan tiga Qul.
Pada awal bacaan saya tidak ada yang berlaku. Wajah ibu Dayang cuma mengerut menahan sakit. Itu sahaja. Selebihnya tiada apa yang menarik. Hampir 30 minit saya bacakan ayat-ayat tadi secara berulang-ulang.
Selepas itu saya hentikan sekejap bacaan saya. Saya teringat akan sesuatu. Saya teringat akan minyak yang dikatakan oleh Dayang semasa di kelas dulu. Minyak tulang bangkai kucing yang dihancurkan dan dicampurkan dengan minyak kelapa.
“Kak, kalau kakak tak keberatan nak bagitahu, kakak ada simpan tak minyak yang diberi oleh bomoh yang merawat kakak dulu? Saya dapat tahu dari Dayang kak tentang minyak ini.”
“Ya Malik. Ada kat atas siling rumah kami. Bomoh tu yang tolong kami gantungkan minyak tu pada siling ruang tamu. Kenapa Malik?”
“Patutlah bacaan saya tadi tidak memberi kesan.”
“Maksud kamu apa Malik?”
“Macam ni kak. Yang pertama Allah nak bagitahu ada sesuatu kat rumah kita yang Allah tidak redha. Yang kedua, di dalam kita meminta kepada Allah adalah sebaik-baiknya kita bebaskan diri kita dulu dari apa-apa sahaja perkara syirik, kurafat dan apa-apa sahaja bentuk kesesatan yang Allah tidak redhai.”
“Sebab itulah kenapa pesakit itu tidak sembuh-sembuh. Di dalam diri mereka masih ada lagi keya dankinan mempercayai kekuatan lain selain Allah. Allah meminta kepada kita untuk tidak mensyirikkannya. Semudah itu sahaja kak.”
“Faham Malik. Jadi apa yang perlu kita lakukan sekarang dengan minyak tu?”
“Kita kena ambil minyak tu sekarang kak. Kita musnahkan dulu. Lepas tu kita mulakan balik bacaan Al Quran.”
“Siapa yang nak ambik? Malik ke?”
“Hehehe..Kita suruh Dayang tak boleh ke kak? Nanti saya tunggu kat bawah je.”
“Hai Malik. Takut ke?”
“Bukan takut kak tapi risau.”
“Nanti Malik pegi ambik k. Nanti Dayang tolong sambut je.”
“Baiklah kak.”
“Kamu ni penakut rupanya Malik. Hahaha..”
“Bukan takut kak. Dulu saya memang penakut. Tapi sekarangpun penakut jugak. Hahaha..”
“Kamu ni Malik. Dari kecil-kecil dulu sampailah sekarang sifat penakut kamu ni tak pernah kurang-kurang. Dayang, kamu tolong ustaz ambik minyak tu nanti k. Mak tak dapat nak panjat. Nasib baik siling rumah kita ni rendah. Naik pakai kerusi je pun dah boleh nak ambik minyak tu.”
“Baiklah mak. Nanti Dayang sambut dari bawah.”
Selepas itu saya mengambil sebuah kerusi yang diletakkan di sebelah kiri almari perhiasan di ruang tamu. Kerusi itu saya angkat dan saya bawa ke tempat yang ditunjukkan oleh ibu Dayang.
“Minyak tu bomoh tu letak kat lubang papan yang terbuka tu Malik. Dia gantungkan kat situ. Nanti Malik cuba aba-raba kalau ada. Rasanya masih ada kat situ Malik.”
LUBANG YANG TERBUKA
“Baik kak. Nanti saya cari.”
Ternyata tempat yang dimaksudkan oleh ibu Dayang tadi adalah lubang terbuka pada papan siling di sebelah kiri. Tempat seseorang memerhati saya dengan mata yang merah menyala tadi.
Saya naik ke atas kerusi perlahan-lahan. Perasaan risau dan ingin tahu bercampur di dalam diri. Sebaik-baiknya sya tidak mahu naik ke atas. Risau juga kalau sama-sama mengenguk sambil bertanya khabar nanti.
Saya mulakan dengan membaca zikir;
“Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui.”
Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa:
“Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui” sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya”
(Riwayat Abu Daud, 4/323; At Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad; Tirmizi: Hasan)
Dan juga zikir;
“Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah.”
“Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, Jika seseorang keluar dari rumahnya lalu membaca (zikir): Bismillahi tawakkaltu ‘alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah (Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada-Nya, dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya),
maka malaikat akan berkata kepadanya: “(Sungguh) kamu telah diberi petunjuk (oleh Allah Ta’ala), dicukupkan (dalam segala keperluanmu) dan dijaga (dari semua keburukan)”, sehingga syaitan-syaitanpun tidak bisa mendekatinya dan setan yang lain berkata kepada temannya: Bagaimana (mungkin) kamu bisa (mencelakakan) seorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dijaga (oleh Allah Ta’ala)?”
(HR Abu Dawud (no. 5095), At Tirmidzi (no. 3426) dan Ibnu Hibban (no. 822), dinyatakan shahih oleh imam At Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Syaikh Al Albani
Dengan menggunakan tangan kanan, saya mula meraba-raba apa yang ada di atas bahagian dalam siling. Saya raba dari kiri dan ke kanan. Yang ada cuma debu-cebu yang tebal dan juga beberapa ketulan seperti tahi tikus.
Saya cuba meraba dengan lebih dalam. Saya tersentuh sesuatu yang agak lembut dan melekit. Kemudian saya keluarkan tangan saya untuk mengetahui apabenda yang melekat di tangan saya.
Ternyata bangkai tikus. Baunya mula menyebar ke seluruh ruang tamu. Dayang saya ihat cuma tersenyum sambil menutup hidungnya. Begitu juga ibu Dayang. Selepas itu saya teruskan meraba dan mencari sambil menutup hidung saya.
Akhirnya saya tersentuh suatu benda. Agak keras. Saya raba perlahan-lahan. Ternyata sebuah botol kecil. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh Dayang dan ibunya. Saya genggam dan mula membawa botol tersebut turun ke bawah.
Saya tak nak serahkan botol itu kepada Dayang kerana tangan saya masih lagi diselaputi dengan kulit dan isi bangkai tikus yang melekit dan berbau. Baunya semerbak hingga ke rongga hidung yang paling dalam.
MEMATIKAN SIHIR MINYAK BANGKAI KUCING
Botol itu saya letakkan ke lantai. Isi botol tersebut berwarna hitam dan kelihatan dengan jelas serbuk berwarna putih pada dasar botol tersebut. Mungkin itulah tulang bangkai kucing.
Selepas itu saya pergi ke tandas untuk menyuci tangan saya dan juga botol tersebut. Kemudian saya lap dengan tisu yang telah disediakan oleh Dayang awal-awal tadi. Saya buka tudung botol tersebut.
Bau busuk dan hanyirnya sangat kuat. Saya hampir termuntah ketika tercium bau dari dalam botol tersebut. Tekak menjadi loya. Selepas beberapa ketika barulah keadaan kembali seperti biasa.
Kemudian saya bacakan sebuah potongan ayat dari Al Quran untuk mematikan pengaruh sihir di dalam minyak tersebut dan juga pada ibu Dayang dan keluarganya sekiranya ada.
“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahwa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir”. Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahwa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.” (Al BAqarah: 102)
Selepas itu saya buang minyak tersebut ke dalam sungai. Selepas itu barulah saya membuang botolnya sekali. Kebetulan rumah keluarga Dayang berdekatan dengan Sungai Kemena.
Cuma memerlukan beberapa langkah sahaja untuk ke sana. Jadi senanglah untuk saya membuang minyak tersebut.
Selepas selesai saya uruskan minyak tersebut, saya kembali ke rumah Dayang. Dayang dan ibunya sedang menunggu saya di ruang tamu.
“Alhamdulillah. Jom kak. Kita mulakan sekali bagi. Kakak dengar sahaja bacaa Al Quran saya ok.”
“Baiklah Malik.”
MEMULAKAN RAWATAN
Selepas itu, ibu Dayang mula mengatur posisi duduknya seperti tadi. Dia duduk sambil melunjurkan kakinya ke hadapan. Kemudian saya mulakan kembali dengan ‘Taawwudz’ dan ‘Basmalah’.
Saya bacakan beberapa ayat Al Quran dan diselang selikan dengan ayat tentang sihir kerana menurut pendapat saya ibu Dayang bukan sekadar diganggu jin tetapi kemungkinan sebahagian jin itu datang disebabkan minyak dari tulang bangkai kucing tersebut kerana minyak itu pasti dibuat dengan kaedah sihir sebelum diserahkan kepada ibu Dayang.
Saya mulakan dengan membaca Surah Al Fatihah, lima ayat terawal dan dua ayat terakhir dari Surah Al Baqarah, Surah Kursiy dan beberapa ayat tentang sihir. Di antaranya adalah Surah Al Baqarah: ayat 102 dan juga beberapa surah-surah lain;
“Musa berkata, Apakah kamu mengatakan terhadap kebenaran waktu ia datang kepadamu, sihirkah ini padahal ahli-ahli sihir itu tidaklah mendapat kemenangan”. (Surah Yunus: 77)
“Maka setelah mereka melemparkan, Musa berkata kepada mereka, Apa yang kamu lakukan itu, itulah sihir, sesungguhnya Allah akan menampakkan ketidakbenarannya. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan terus berlangsungnya pekerjaan orang-orang yang membuat kerusakan. Dan Allah akan mengokohkan yang benar dengan ketetapanNya, walaupun orang-orang yang berbuat dosa tidak menyukai (nya)”. (Surah Yunus: 81-82)
“Maka Musa merasa takut dalam hatinya. Kami berkata, Janganlah kamu takut, sesungguhnya kamulah yang paling unggul (menang). Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, niscaya ia akan menelan apa yang mereka perbuat. Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya tukang sihir (belaka) dan tidak akan menang tukang sihir itu, dari mana saja ia datang”. (Thaha: 67-69)
Selepas saya membaca ayat-ayat tersebut ibu Dayang mula menangis dan menjerit. Saya meminta Dayang untuk membantu membaringkan ibunya.
Kemudian saya letakkan bantal di kepalanya sambil Dayang menutupi tubuh ibunya dengan selimut.
Saya teruskan bacaan saya berulang-ulang kali. Pada ketika itu juga kedengaran seperti bunyi tapak kaki orang berlaki ke sana sini di atas siling rumah. Dayang ketika itu dengan wajah yang risau serta jatuhan air mata terus memandang saya.
“Ustaz, saya takut.”
“Jangan takut Dayang. Selagi kita melakukan perkara yang diredhai Allah maka selagi itulah Allah tetap bersama kita bahkan menolong kita dengan rahmat dan kasih sayang Nya.”
Selepas itu Dayang mengangguk sambil mengelap air matanya dengan menggunakan penghujung lengan bajunya.
Saya teruskan bacaan saya tanpa menghiraukan apa yang terjadi. Ibu Dayang yang tadinya mengamuk menangis dan menjerit tiba-tiba terdiam. Matanya tepat memandang ke arah saya. Nafasnya berombak-ombak.
“Wahai hamba Allah. Kenapa kamu menganggu aku? Aku tidak pernah menganggu kamu.”
“Aku tidak akan menganggu jin yang tidak menganggu orang lain. Tetapi apabila bacaan Al Quran aku menyebabkan engkau sakit, itu bukan kerana bacaan aku tetapi kerana Allah telah menunjukkan bahawa kamu zalim kepada manusia.”
“Bagaimana kau boleh katakan yang aku ini zalim? Aku juga Islam. Sama seperti kamu.”
“Kalau begitu bagaimana kamu boleh merasa sakit apabila aku bacakan Al Quran kepada kamu sedangkan ayat Al Quran ini adalah ‘as syifa’ atau penawar kepada segala penyakit.”
“Aku tidak tahu. Aku juga tidak tahu kenapa ayat Al Quran ini telah menyebabkan aku sakit. Apakah Al Quran ini kejam? Sehinggakan sebagai seorang Islam aku juga sakit apabila mendengarkannya.”
“Bukan begitu. Di masjid dan di surau ada banyak kaum jin Islam yang seperti kamu dan beribadah kepada Allah. Kenapa mereka tidak sakit seperti apa yang kamu alami sekarang sedangkan setiap hari mereka juga diperdengarkan bacaan Al Quran bahkan ayat Al Quran itu dilafazkan juga pada mulut mereka.”
“Ya. Aku juga tidak faham kenapa.”
“Baiklah. Sudah berapa lama kamu berada di dalam badan makcik ini?”
“Seingat aku sudah beberapa bulan lamanya.”
“Bagaimana kamu boleh masuk ke dalam badan makcik ini?”
“Aku sendiri sebenarnya tidak tahu. Cuma aku dipanggi beberapa kali oleh makcik ini untuk masuk ke dalam badannya.”
“Bagaimana cara dia memanggil kamu?”
“Dia berulang kali menyeru namaku.”
“Siapa nama kamu ya ma’syaral jin? Ceritakan kepada aku bagaimana kamu boleh berada di dalam badan makcik ini.”
“Nama Aku Rahman. Bukan aku sahaja yang berada di dalam badan perempuan ini. Ada banyak lagi. Lebih kurang 2000 ekor kami di dalam badan makcik ini.”
“Kenapa boleh jadi begitu?”
“Sudah namaku diseru berulangkali, maka aku datanglah padanya. Merasuki badannya serta tinggal di dalam badannya. Di dalam badan perempuan ini ada banyak jin yang menumpang. Lebih kurang 2000 ekor jumlahnya. Seperti yang aku katakan padamu tadi. Nama kami juga sama. Ada yang bernama Rahman dan ada yang bernama Rahim. Selain dari itu tidak ada jin yang namanya berlainan dari Rahman dan Rahim. Kami masuk ke dalam badannya kerana kami ingatkan yang dia menyeru kami untuk tinggal di dalam badannya. Kerana itulah penilaian kami.”
BERDAKWAH DENGAN JIN
“Kamu tahu tidak bahawa kamu telah menzalimi sesama umat Islam dengan tinggal di badan makcik ini serta menyebabkan dia sakit. Apalagi kamu adalah lelaki dan kamu menyentuh perempuan yang haram untuk kamu sentuh.”
“Apakah sampai begitu sekali kesalahanku?”
“Iya. Betul. Dia bukan mahram kamu dan kamu juga mahram kepada dia”
“Apakah aku salah mendengar atau aku yang tidak memahami perkataan kamu?”
“Kamu tidak salah mendengar. Cuma seperti apa yang kau katakan tadi. Kau cuma tidak memahami apa yang aku katakan. Firman Allah;
“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”. (Surah Adz Dzaariyat: 56)
“Engkau adalah dari golongan jin dan aku adalah dari golongan manusia. Kita adalah makhluk mukallaf yang diberi tanggungjawab untuk beribadah kepada Allah.”
“Apa ertinya mukallaf itu?”
“Begini. Kita adalah makhluk yang mukallaf yang dipertanggungjawabkan dengan kewajipan dan perintah untuk menjalankan syariat Islam serta menjauhi segala laranganNya. Kecuali ada beberapa perkara ini yang ada pada kamu.“
“Apa dia. Jelaskan padaku.”
“Ya. Sekiranya kamu masih belum baligh ataupun kamu ini gila. Itu saja pilihanmu. Firman Allah;
“Barang siapa yang berbuat sesuai dengan hidayah (Allah), maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barang siapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi (kerugian) dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.” (Surah Isra’: 15)
“Ya. Aku faham. Kalau begitu aku tidak boleh menyentuh dia?”
“Ya. Kerana dia bukan isteri kamu. Bukannya mahram kamu.”
“Baiklah kalau begitu. Aku faham. Selepas ini aku akan keluar. Juga jin-jin lain yang berada di dalam badan perempuan ini. Kesemua mereka khusyuk mendengar perbualan kita. Aku kira ini suatu hidayah dari Allah untuk kita.”
“Alhamdulillah kalau begitu. Selepas ini perintahkan kesemua teman kamu untuk keluar dari badan makcik ini. Pindahlah di surau atau di masjid kerana di situ sebaik-baik tempat tinggal kalian.”
“Aku faham. Apakah kami berdosa atas ketidaktahuan kami tentang hal ini wahai manusia?”
“Tidak kerana sememangnya kamu dan teman-temanmu tidak tahu. Lainlah sekiranya kamu tahu dan kamu terus berdegil untuk tinggal di dalam badannya.”
“Alhamdulillah kalau begitu. Aku risau sekiranya aku mati dalam keadaan menzalimi orang lain. Apa lagi saudara seIslam aku. Selepas ini aku akan keluar dan aku berjanji aku tidak akan masuk ke dalam badan manusia lagi.”
“Ya. Begitulah. Semoga Allah merahmati kamu dan mengampuni segala dosa kamu.”
“Amin. Semoga Allah merahmati engkau juga. Kami keluar dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam..”
Badan ibu Dayang kemudiannya mula bergerak ke kiri dan kanan. Ibu Dayang menekan perutnya dan membuka mulutnya. Selepas itu ibu Dayang mula memuntahkan apa sahaja yang ada di dalam perutnya.
Saya meminta Dayang untuk menyalut muntah ibunya dengan menggunakan baldi tadi. Sedangkan saya terus membaca ayat-ayat ruqyah dengan harapan semoga bacaan saya itu menjadi amal kepada saya yang sampai terus menerus kepada Allah.
Hingga kemudiannya Allah membantu saya untuk memudahkan jin di dalam badan ibu Dayang untuk keluar.
Selepas itu saya meminta Dayang mengurut ibunya dari bahagian sebelah belakang badan. Bermula dari pinggang, tengkuk, leher, kepala hingga ke dahi. Ibu Dayang kemudiannya memuntahkan sisa-sisa yang ada yang keluar dari perut hingga ke mulut.
Selepas itu saya memanggil ibu Dayang.
“Assalamualaikum kak?”
“Waalaikumsalam Malik. Kamu kenapa? Tadi dah bagi salam. Ni nak bagi salam lagi. Hm…Malik, kenapa dengan kakak tadi? Kakak rasa macam tertidur je selepas solat maghrib tadi. Sedar-sedar je kakak dah terbaringdi ruang tamu.”
“Tak ada apa-apalah kak. Nanti apa-apahal Dayang akan cerita dengan kakak ok.”
“Baiklah ustaz.”
“Sekarang apa yang kakak rasa?”
“Badan kakak rasa ringan Malik. Mata dah tak kabur lagi. Kaki kakak pun rasa ringan sangat.”
“Alhamdulillah kalau macam tu. Insyaallah gangguan pada kakak mungkin dah kurang atau dah hilang sepenuhnya. Semua ini adalah rahmat dan kasih sayang Allah untuk kakak sekeluarga. Sekarang ni tinggal bagaimana kakak hidupkan suasana rumah ini dengan Al Quran dan ibadah yang benar.”
“Jangan lupa untuk sujud syukur ya kak. Sebab Allahlah yang telah menyembuhkan kakak. Sebelum terlupa, selepas ini kakak terus dapatkan rawatan dari doktor kerana lutut kakak telah lama sakit kalau mengikut perkiraan dan penyelidikan doktor.”
“Insyaallah Malik.”
PENANGAN ZIKIR BIDAAH
“Selepas ni kakak kena hati-hati dalam mengamalkan zikir.”
“Adakah tidak bagus untuk kita amalkan zikir Malik?”
“Bukan macam tu kak. Zikir ini dibolehkan bahkan dianjurkan di dalam Islam. Cuma perlaksanaan zikir itu sendiri biarlah ada dalil dan nas yang membenarkan. Kadang-kadang kita mengamalkan zikir ini tanpa kita sendiri tidak mengetahui apa ianya boleh atau tidak, benar atau tidak.”
“Kalau macam kes kakak tadi macamana Malik? Macamana jin tu oleh masuk sedangkan kakak mengamalkan zikir dari Asmaul husna. Bukankah itu zikir yang baik. Apa lagi terkandung nama-nama Allah?”
“Bukan tidak boleh kak. Seperti yang saya katakan tadi. Kena ada dalil dan nas yang membenarkannya. Satu lagi kak. Apa-apapun zikir tersebut kita tidak boleh menetapkan sebagai wajib jumlah bilangan bacaannya melainkan ada dalil atau nas yang meminta kita membacanya dengan jumlah yang tertentu dan jangan diamalkan sebarang. Apatah lagi kita mewajibkan membacanya dengan jumlah yang tertentu. Tidak boleh lebih dan tidak oleh kurang. Itu yang salah.”
“Dalam sebuah hadis Rasulululah meminta kita untuk mengamalkan zikir;
‘La ilaha ilallahu wahdahu laa syarikalahu. Lahul mulku wa huwa la kulli syai in qodir’.
“Dibaca sebanyak seratus kali sehari semalam. Itu dibolehkan kerana ada dalilnya.”
Dalam sebuah hadis, melalui Abu Hurairah R.A, bahwa Rasulullah S.A.W bersabda;
“Barangsiapa mengucapkan LAA ILAHA ILLALLAH WAHDAHU LAA SYARIKA LAH LAHUL MULKU WA LAHUL HAMDU WA HUWA ‘ALA KULLI SYAI’IN QODIR (Tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, milikNya segala kekuasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dialah Yang Mahakuasa atas segala sesuatunya) dalam sehari seratus kali, itu sama pahalanya dengan membebaskan sepuluh hamba sahaya dan dituliskan untuknya seratus kebaikan, serta dihapuskan dari dirinya seratus kejelekan (dosa). Zikir itu juga penjaga dirinya dari gangguan setan pada hari itu sampai sorenya. Dan tidak ada seorang pun yang datang membawa amal yang lebih baik daripada yang ia bawa, kecuali ada orang yang beramal lebih banyak daripada dirinya.”
“Baginda juga bersabda;“
“Barangsiapa yang mengucapkan SUBHANALLAHI WA BI HAMDIH (Mahasuci Allah dan dengan memujiNya) sebanyak seratus kali sehari, terhapuslah dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” (HR. Bukhari, no. 6403 dan Muslim, no. 2691)
(Hadits no. 1411) Dari Abu Ayyub Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda,
“Juga pada sebuah hadis;”
“Barangsiapa mengucapkan LAA ILAHA ILLALLAH WAHDAHU LAA SYARIKA LAH LAHUL MULKU WA LAHUL HAMDU WA HUWA ‘ALA KULLI SYAI’IN QODIR (tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, milikNya segala kekuasaan dan bagi-Nya segala pujian, dan Dialah Yang Mahakuasa atas segala sesuatunya) sebanyak sepuluh kali, maka ia seperti orang yang telah memerdekakan empat jiwa dari anak keturunan Ismail.” (HR. Bukhari, no. 6404 dan Muslim, no. 2693)
“Ini adalah beberapa dalil dari hadis Rasulullah yang menganjurkan kita amalkan beberapa jenis zikir dengan jumlahnya sekali. Dan yang ini diperbolehkan. Tetapi di dalam kes kakak. Bomoh itu meminta kakak membaca zikir Ar Rahman dan Ar Rahim sebanyak 2000 kali sehari semalam. Mesti dibaca pada jumlah 2000 kali. Tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang. Itu sudah ‘bidaah’. ‘Bidaah’ ini ada sesuatu yang menghancurkan Islam itu sendiri dari dalam.”
“Malahan syaitan sangat suka perkara bidaah ini iaitu dengan cara wajib mengamalkan zikir-zikir tertentu dengan jumlah yang telah ditetapkannya. Tidak pernah dalam Al Quran dan hadis menganjurkan begitu. Melainkan ada dalil dan nas yang meminta kita membaca dengan jumlah yang tertentu seperti hadis yang saya jelaskan tadi.”
“Oleh kerana kita tidak tahu jadi kita amalkan juga. Sudah pastilah kita akan didatangi oleh golongan jin kerana mereka beranggapan yang kakak memanggil mereka untuk tinggal di dalam badan kakak. Alhamdulillah. Nasib baik jin yang masuk ke dalam badan kakak tu jenis yang mudah untuk dikeluarkan. Kalau jenis yang jahat yang datang dan mengambil kesempatan kerana ingin menyesatkan dan menyakiti kakak dengan lebih teruk, lagi susah kakak nanti.”
“Kalau begitu kakak faham Malik. Insyaallah lepas ini kakak tidak akan mengamalkan zikir secara sebarangan sahaja tanpa ada dalilnya.”
“Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu kak. Jadi, ada apa-apa lagi yang kakak nak tanya?”
“Tak ada Malik. Nanti kalau ada apa-apa masalah kakak akan tanya Malik terus.”
“Baiklah kak. Kalau tak ada apa-apa lagi saya nak minta diri dulu.”
“Baiklah Malik. Terima kasih banyak-banyak kat Malik. Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik Malik.”
“Semoga apa yang berlaku pada malam ini menjadi iktibar kepada kita kak. Saya balik dulu kak, Dayang.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.
Selepas meminta izin untuk balik, saya berdiri lalu menuju pintu keluar. Dayang dan ibunya menemani hingga ke muka pintu.
Sebelum masuk ke dalam kereta saya sempat melambaikan tangan saya kepada mereka dan mereka membalasnya dengan senyuman kepuasan.
Selepas saya hidupkan enjin kereta, saya tinggalkan mereka dengan rasa syukur kepada Allah. Malam itu saya harungi dengan bertemankan embun malam.
Hinggalah di suatu persimpangan sebelum masuk ke pasar lama Bintulu, saya tertarik apabila melihat kelibat dua orang manusia yang sedang berjalan kaki. Bertentangan arah dengan kereta saya.
Saya perhatikan mereka dari jauh hinggalah mereka berada hampir dekat dengan saya. Saya terkejut dan terpaku seketika. Kerana kelibat dua itu adalah Dayang dan ibunya. Mereka memandang saya dengan senyuman.
Saya hentikan kereta dan cuba untuk menoleh. Kelibat mereka tiba-tiba hilang di tengah kabus malam. Saya tersenyum dan mengucapkan syukur kepada Allah.
Kerana Allah mengajar saya untuk menyantuni alam ini. Di alam inilah saya hadir. Juga bersama makhluk-makhluk lain yang memerhati manusia dari arah yang paling dekat sekali.
Mungkin juga mereka berada di samping kita. Allahu a’lam..
Kung Pow terkejut..