“Ustaz, Kasut Jogging Ustaz berik ngan saya sigey..pakey jogging….”Itulah antara kata-kata dalam whatsapp seorang bekas pelajar kepada seorang ustaz sehari sebelum beliau meninggal dunia.
Hakim Bakri baru berusia 16 tahun meninggal dunia pada 2 Disember lalu akibat terjatuh semasa bermain futsal di kpg Maludam.
Kematian itu adalah sesuatu yang pasti tiba, namun bagi Ustaz Tuan Mohd Solihin Tuan Far, kehilangan Adik Hakim Bakri ini sesuatu yang sangat terkesan dihati beliau kerana hubungan yang rapat dengan Allahyarham dan anak-anak didik SK Maludam begitu erat meskipun sudah ke sekolah menengah.
Ustaz Tuan Mohd Solihin yang berasal dari Kelantan sudah berkhidmat di SK Kpg Maludam sejak tahun 2010 lagi.
Beliau bersama beberapa ustaz dan guru telah menjalankan program pemantapan rohani kepada anak anak dan penduduk melayu di kampung Maludam.
Allahyarham Hakim Bakri merupakan salah seorang pelajar bimbingannya yang cukup rapat.
Malah Ustaz Solihin berusaha menempatkan Allahyarham dan beberapa rakan lain ke SMK Agama Saratok bagi memastikan anak-anak Maludam mampu menjadi contoh pelajar yang berjaya dalam pembentukan sahsiah dan kecemerlangan akademik.
Kematian Allahyarham adik Hakim Bakri ini begitu terkesan kerana Allahyarham seorang yang amat disenangi dan lembut tutur bicara.
Seorang rakannya telah bermimpi bertemu Hakim memakai jam tangan emas dengan wajah cukup gembira. Keesokan harinya rakan beliau mendapat berita bahawa parcel berisi sebuah jam tangan berwarna emas milik Allahyarham tiba di Kg Maludam.
Rupa-rupanya Allahyarham ada membeli jam secara online tetapi tidak sempat memakainya. Sungguh menyedihkan.
Di Sekolah Menengah Agama Saratok, adik Hakim turut disayangi oleh guru-guru. Menurut penolong kanan HEM SMKA Saratok Ust Wan Roslan Wan Ishak, Hakim mempunyai rekod bersih dan tidak mempunyai salah laku serta suka membantu guru-guru.
Kehilangan Allahyarham Hakim turut memberi inspirasi untuk sekolah memgabadikan kebaikan yang dibuat oleh Allahyarham dalam satu program iaitu HAYATI AKHLAK KEPERIBADIAN INDIVIDU MULIA (HAKIM).
Manakala di SK Maludam pula turut menubuhkan kelab HAKIM iaitu KELAB HAZAFAN AL QURAN KANAK KANAK ISLAM MALUDAM.
Kelab ini baru sahaja diluluskan untuk dijadikan permulaan untuk anak-anak SK Maludam beragama islam dapat menghafal al quran di usia muda.
Mari kita panjatkan doa buat Allahyarham Hakim Bakri agar rohnya dicucurkan rahmat oleh Allah swt. Al Fatihah.