“Aspalela Sayang Cikgu Yus”: Perkongsian Cikgu Pe Chey

Petang tadi, tengah aku bersiap nak balik sekolah, messengerku berdering. Masuk mesej. Permintaan daripada seorang kenalanku. Cikgu Yus. Seorang guru yang berasal dari Pahang namun kini bertugas di Kota Kinabalu Sabah.

Bertugas di sekolah rendah di sebuah pulau berhampiran bandar KK. Usia perkhidmatan beliau hampir menjangkau 11 tahun. Perjalanan ke sekolah memerlukan beliau serta anak didik daripada kampung berhampiran dan sekitar menaiki bot seawal pagi bergantung juga akan keadaan ombak.

Dalam nada girang beliau mohon bantuan aku karangkan. Ada kisah sebak namun membahagiakan ingin beliau kongsikan. Sebuah kisah benar lagi pilu perihal anak didiknya yang comel. Aspalela namanya. Seorang anak didik Tahun 5 namun saiz badannya kecil bagaikan murid Tahun 1.

Aspalela adalah antara ribuan mungkin anak-anak yang kurang zat makanan serta peluang belajar dengan selesa lantaran kedaifan hidup yang melatari kehidupan seharian. Bukan mudah untuk berada di dalam situasi begini.

Anak kedua daripada 5 beradik ini berasal daripada kampung Teluk Layang, sebuah perkampungan nelayan terpencil di belakang bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah. Ayahnya seorang nelayan kecil-kecilan yang bergantung seoenuhnya kepada hasil laut sebagai punca pendapatan.

Aspalela kerap ponteng sekolah semasa Tahap 1. Kadar kehadiran ke sekolah sangat rendah dek kerana perjalanan ke sekolah yang agak jauh serta perlu naik bot. Bot pula difahamkan kerap rosak. Sehingga awal tahun ini, Aspalela memang dikategorikan murid linus tegar.

Pelbagai usaha guru-guru lakukan sebenarnya untuk mengatasi masalah linus ini. Guru-guru sanggup datang ke rumah untuk mengetahui permasalahan murid serta menerangkan perihal peri pentingnya pendidikan kepada ibu bapa.

Cikgu Yus pernah rasa kecewa. Bila mana Aspalela hanya mengatup mulut tanpa sebarang bunyi bila dibawa mengeja serta membunyikan huruf mahu pun perkataan. Pelbagai usaha dilakukan demi memastikan Aspalela mahu menyebut kembali apa yang diajar.

Alhamdulillah, setelah 3 bulan sesi persekolahan tahun ini berjalan, akhirnya Aspalela menberikan respon yang cukup positif. Hari ini, dia dah mula boleh menyebut beberapa perkataan serta membunyikannya dengan betul.

Menitik airmata Cikgu Yus. Rasa kepuasan yang sukar ditafsirkan oleh seorang guru melihatkan perubahan ketara daripada Aspalela. Hilang rasa lelah serta hiba seorang guru bila melihatkan anak didiknya memberikan reaksi yang positif pada pengajarannya.

Hasil pujian cikgu Yus tentang tulisan cantik Aspalela, dia kini menunjukkan perubahan yang drastik. Bukan mudah sebenarnya tambah pula untuk subjek Bahasa Inggeris. Memang hampir keseluruhan anak didik di kelas Aspalela adalah linus tegar. Suatu cabaran yang perlu Cikgu Yus hadapi.

Inilah sekelumit kisah benar. Perihal ceritera anak murid serta cikgunya. Sebuah penghidupan yang jarang tersiar di media massa serta tersedar oleh masyarakat keliling. Kisah pilu ini biasanya hanya berlegar di khalayak mereka yang berada di bidang perguruan.

Aku bangga kerana aku dapat bersama memperkisahkan cerita benar ini untuk dikongsikan oleh kita agar menjadi wadah untuk semua sedar. Sedar akan masih wujud lagi kelompok masyarakat kita yang begini nasibnya dan perlukan pembelaan.

Perkongsian Cikgu Pe Chey

Comments

comments