Kisah Hotel Lama: Misteri Tingkat 13

BAHAGIAN PERTAMA

Pada awal tahun 2019 ini, dalam bulan febuari rasanya, kami telah didatangi lebih kurang belasan orang kawanan lelaki dan perempuan yang ingin mendapatkan rawatan dari kami.

Paling tidakpun untuk mengesan sahaja ada atau tidak gangguan jin yang mula mengikuti dan menganggu mereka.

Sepertinya mereka adalah sekumpulan sahabat-sahabat baik. Ada yang sudah beristeri dan ada pula yang masih bujang lagi. Usia mereka lebih kurang dalam 20 an.

Beberapa hari sebelum itu mereka berkumpul beramai-ramai dan menyewa beberapa buah bilik di sebuah hotel di Bintulu supaya senang untuk mereka membuat aktiviti seperti makan-makan, bercerita, melakukan beberapa aktivit santai lainnya dan sebagainya.

Tetapi pada hari tersebut juga mereka telah diganggu oleh ‘penghuni yang lebih lama’ yang telah menetap di sana. Dengan erti kata lain penduduk asal sebelum hotel berkenaan wujud lagi.

Sehinggakan beberapa orang dari mereka memberi reaksi yang agak teruk juga ketika dirawat oleh kawan-kawan saya.

Tetapi bukan kisah ini hendak saya ceritakan pada kali ini. Kisah ini saya tutup sampai di sini sahaja. Mungkin suatu hari nanti saya ceritakan semula.

Mungkin kisah ini berkaitan dengan hotel juga. Sebab itulah kisah kali ni mengingatkan saya kepada kes yang terjadi pada awal tahun ini tadi.

Kisah dari mereka ini telah mengingatkan saya tentang suatu pengalaman menarik yang berlaku pada saya suatu ketika dahulu.

Pernah suatu ketika, pada tahun 2014. Kalau tak silap saya, saya telah dihubungi oleh seorang lelaki yang bekerja di sebuah hotel di Bintulu.

Dari Bahagian apa saya juga tidak tahu. Pada awalnya lelaki tersebut memulakan perbualannya dengan menggunakan Bahasa Inggeris.

Selepas itu saya meminta dia menggunakan Bahasa Malaysia sahaja kerana level Bahasa Inngeris kami sangat berbeza.

Sudah tentu saya faham apa yang dia ingin sampaikan kepada saya nanti. Tetapi saya risau dia yang tidak akan memahami Bahasa Inggeris yang saya gunakan.

Kalau di SK Kampung Jepak, Cikgu Jean, Cikgu Tasha, Cikgu Azzah, Cikgu Elsie, Cikgu Wani, Cikgu Bohari dan Cikgu Rody inilah yang selalu mentertawakan penggunaan Bahasa Inggeris saya.

Sejujurnya saya tidak pandai berbahasa Inggeris sebenarnya.

Tetapi mereka lupa, suatu ketika dulu saya pernah mengajar tajuk ‘How To Make A Salted Fish’, untuk murid Tahun 3 di SK Kampung Jepak. Sehinggakan perkataan itu sajalah yang sering saya sebut-sebut di sekolah.
Selepas meminta lelaki tersebut untuk menggunakan Bahasa Malaysia, barulah perbualan kami bertukar menjadi agak kurang formal dan lebih ceria. Malah saya lebih selesa dengan keadaan tersebut. Senang untuk saya memahami apa yang diperlukan oleh staf tersebut.

BERTEMU TUAN KHALID

“Assalamualaikum Encik Malik. Saya Tuan Khalid. Salah seorang pengurus di sebuah hotel di Bintulu. Saya nak mintak tolong Encik Malik datang ke hotel kami. Saya dimaklumkan yang Encik Malik ni ‘Raja Hantu’. Lebih kurang macam tulah saya dimaklumkan oleh staf-staf saya yang lain. Mereka kata Encik Malik boleh tangkap dan buang hantu.”

“Waalaikumsalam Tuan Khalid. Pertama, panggil saya Cikgu Malik saja. Itu lebih mudah dan mesra. Kedua, saya bukan Raja Hantu. Raja Hantu itu sebenarnya adalah Iblis Laknatullah. Saya tak nak jawatan Raja Hantu tu Tuan Khalid. Saya nak jadi cikgu biasa saja. Ketiga, saya tak boleh tangkap hantu sebab itu mukjizat Nabi Allah Sulaiman A.S. Siapapun orang tersebut dan sehebat manapun dia, mereka tetap tidak dapat menangkap hantu.”

“Ooo..Macam tu. Saya mintak maaf cikgu. Saya tak tahu sebenarnya.”

“Tak apa Tuan Khalid. Tuan Khalid bukan ada buat salah pun. Betullah apa yang Tuan Khalid bagitahu tadi. Cuma istilahnya saja yang kurang tepat.”

“Sekali lagi saya minta maaf cikgu.”

“Tak apa Tuan Khalid. Jadi, ada apa-apa nak mintak tolong ke?”

“Ada cikgu. Macam besar juga masalah kami ni.”

“Masalah macamana tu?”

“Begini cikgu. Cikgu taukan hotel tempat saya bekerja ni?”

“Tau. Tau sangat. Hahaha..”

“Kenapa cikgu ketawa?”

“Mana saya tau Tuan Khalid kerja di mana. Tuan belum bagitau lagi di mana tuan bekerja.”

“Hahaha..Betul jugak. Saya bekerja di sebuah hotel Bintulu ni.”

Saya terfikir sejenak tentang beberapa buah hotel yang pernah kami pergi di Bintulu ini. Saya memang tahu apa nama hotel tersebut dan di mana kedudukannya. Cuma saya tak nak maklumkan nama hotel tersebut di sini.

“Kenapa dengan hotel tu tuan?”

“Bahasa mudahnya macam nilah cikgu. Dalam setahun ni pengunjung hotel kami kerap diganggu oleh sesuatu yang pelik di situ. Sehinggakan keuntungan bisnes kami terjejas. Pelanggan kami semakin lama semakin berkurang dan sebagainya.”

“Bayangkan hampir setiap hari juga gangguan tu datang. Tak kira mereka menginap di tingkat apa, pasti akan ada yang terkena. Tapi tak semualah yang diganggu. Cuma kerap sangat gangguan tu berlaku akhir-akhir ni.”

“Biasalah tu tuan. Bisnes ni ada pasang surutnya. Ada untung ada rugi.”

“Tapi masalahnya bisnes kami setahun ni mana ada untung rugi cikgu. Yang ada rugi terus. Kalau masalah ni tak selesai mungkin kami akan menutup cawangan hotel kami ni kat Bintulu ni. Lagipun kos operasi kami melebihi keuntungan semasa. Sebab itulah pilihan terakhir sebelum kami menutup cawangan hotel ini, kami nak usaha dulu
apa yang patut. Jadi kami nak mintak cikgu tolong tengok-tengokkan dulu macamana. Kalau tak selesai jugak masalah ni mungkin kami akan tutup terus hotel ni cikgu.”

“OK. Lepas saya tengok hotel tu nanti, tuan nak mintak tolong apa lagi?”

“Tolong buang ke, halau ke. Asal jangan balik ke hotel kami lagi cikgu. Yang saya risaukan cuma satu cikgu. Kalau hotel ni tutup saya boleh balik ke Semenanjung. Majikan saya tetap sama cuma saya pindah ke cawangan lain. Tetapi macamana pulak pekerja-pekerja di bawah saya cikgu? Mereka ada keluarga, ibu bapa dan anak-anak untuk disara.”

Saya agak terkesan juga apabila Tuan Khalid menjelaskan kepada saya tentang keprihatinannya kepada pekerja yang berada di bawahnya. Inilah nilai kemanusiaanya yang perlu ada pada seorang ketua. Susah sama susah dan senang sama senang.

“Baiklah tuan. Insyaallah nanti saya fikirkan dulu. Kalau ada masa free saya akan datang. Kita tengok dulu macamana keadaannya dan selepas itu baru kita bincang apa yang perlu kita buat. Nanti saya bincang dengan kawan-kawan saya dulu.”

“Err..Cikgu. Boleh tak kalau saya minta kat cikgu satu perkara?”

“Nak mintak apa tuan?”

HOTEL

“Kalau tak keberatan boleh tak kalau cikgu sorang saja yang datang dulu ke hotel kitorang. Bukan saya tak percaya kawan-kawan cikgu. Tetapi saya perlu untuk menjaga nama hotel dan reputasi hotel kami. Saya takut akan terkeluar nanti cerita tentang hotel kami ni.”

“Adoi..Kalau macam tu sapa nak temankan saya nanti tuan?”

“Cikgu tak payah risau. Nanti kawan saya akan temankan cikgu. Lagipun kalau ada cikgu taklah kawan saya takut sangat nanti.”

Saya terdiam seketika. Macamana kawan Tuan Khalid boleh bergantung dengan saya sedangkan saya juga takut seperti mereka. Mungkin lebih lagi dari itu.

Saya sempat terbayang sekiranya kami diganggu nanti, sayalah yang pertama akan lari meninggalkan mereka.

Sedangkan semasa menonton cerita hantu barat bertajuk ‘Mama’, saya yang bersembunyi di belakang Aleesya. Takut-takut dalam cerita Mama tersebut, hantu tu akan keluar secara tiba-tiba dan menyebabkan saya melompat terkejut.

Saya tidak memberi sebarang jawapan berbentuk setuju kepada Tuan Khalid. Saya cuma meminta Tuan Khalid untuk menelefon saya kembali pada keesokan harinya.

Sebenarnya saya ingin melakukan solat sunat istikharah dulu untuk meminta petunjuk kepada Allah. Sama ada perlu untuk saya datang atau tidak.

Selepas beberapa ketika dari perbualan telefon tersebut, akhlirnya saya bersedia untuk melakukan Solat Sunat Istikharah. Sabda Rasulullah SAW;

Hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah R.A dia berkata: Rasulullah S.A.W pernah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan, sebagaimana baginda mengajar kami surah dari Al Quran. Baginda bersabda:

“Jika salah seorang di antara kalian berkeinginan keras melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu kemudian membaca doa;

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepadaMu dengan ilmuMu, memohon ketetapan dengan kekuasaanMu dan aku memohon kurniaanMu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang, maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang, maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.”

Baginda bersabda; Hendaklah dia menyebutkan apa yang dihajatkannya. (HR. Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Al Jumu’ah, No: 1162)

Firman Allah di dalam surah Al Baqarah ayat 45;

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”

Dan itulah yang saya lakukan ketika memulakan solat Sunat Istikharah saya. Agar solat saya tadi benar-benar sampai kepada Allah dan Allah menjawabnya dengan bahasa indah dan bahasa kasih sayang.

Juga agar saya lebih memahami apa yang Allah peringatkan kepada saya tentang hasil dari istikharah tadi dan bukanya semata-mata apa yang saya minta.

Saya juga yakin bahawa Allah pasti akan mejawab doa saya nanti. Firman Allah;

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.” (Surah As Syams: 7-8)

Pada malam tersebut saya lakukan solat Sunat Istikharah sebanyak dua rakaat. Ketika itu jam sudah menunjukkan tepat pada pukul 2. 17 bagi.

Kebetulan sebelum itu juga saya baru terbangun dari tidur saya. Lalu menuju ke tandas untuk mengambil wuduk.

Selepas selesai solat Sunat Istikharah, mata saya kembali mengantuk. Malah mata saya hampir-hampir tidak dapat untuk dibuka.

Sepatutnya selepas terjaga dari tidur, mata tidak akan kembali mengantuk dan akan merasa lebih segar sedikit. Tetapi tidak pada malam tersebut.

Selepas solat dan berdoa, saya tertidur di atas sejadah.
Saya tidak tahu sebenarnya bila saya kembali tersedar dari tidur saya yang lena.

Sebab baru beberapa ketika saya lelapkan mata, saya terdengar seperti bunyi ketukan pada pintu bilik kami di tingkat atas. Lebih tepatnya pintu beranda di bilik kami.

Saya bingkas bangun lalu duduk sambil mememehati sekeliling bilik kami. Saya perhatikan isteri saya sedang menyiapkan laporan kerjanya.

Duduk sambil sesekali mengadap tv. Sedangkan Aleesya, Sarah dan Aqila pula bergolek-golek di atas katil.

Saya cuma tersenyum memandang isteri dan anak-anak saya dan saya tidak mahu menganggu mereka. Saya kemudiannya berdiri lalu berjalan ke arah pintu beranda rumah kami dan memandang ke arah luar rumah. Dingin, gelap dan sunyi.

Tiada kedengaran bunyi kereta dan motosikalpun pada ketika itu. Melainkan bunyi cengkerik dan unggas malam yang giat mencari makan.

Dingin angin perlahan menyentuh kuit saya sehingga saya merasakan sejuknya menyerap hingga ke tulang saya.

Saya duduk di kerusi yang ada di beranda tersebut. Kerusi pemberian Kak Zaza, kawan baik isteri saya dan sama-sama bekerja di MLNG Kidurong Bintulu. Hadiah ketika saya dan isteri baru sahaja mendirikan rumah tangga.

Saya memandang ke depan. Apa saja yang terlintas di hadapan mata saya, akan saya perhatikan dengan tekun.
Pada awalnya pandangan saya beralih ke kawasan Tanah Perkuburan Kemunting.

Kalau dari beranda rumah saya, saya dapat memerhatikannya dengan jelas. Sebab rumah kami ke Tanah Perkuburan Kemunting tidak sampai satu km pun dan kedudukannya di atas bukit.

Cuma saya sedikit hairan pada malam tersebut. Kenapa sepertinya ada bunyi yang mengerikan muncul dari kejauhan Tanah Perkuburan Kemunting. Sebenarnya saya tidak tahu itu bunyi apa. Tetapi bunyi tersebut benar-benar menakutkan saya.

Selepas itu saya mengalihkan pandangan saya ke arah kanan iaitu pada suatu tempat yang agak jauh. Cuma yang peliknya, walaupun jauh tetapi mata saya dapat memandang dengan jelas apa yang ada di sana.

MALAM YANG HIDUP

Saya memandang tepat ke arah tersebut. Berusaha untuk mengetahui apa yang ada di sana. Sebab pada kegelapan malam tersebut, di situ seperti ada sesuatu pesta atau suatu kehidupan yang ‘hidup’ di tengah-tengah malam.

Saya mengambil keputusan untuk ‘terbang’ ke sana dan cuba mengambil tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Sebelum itu saya sempat untuk menjenguk isteri dan anak-anak saya di dalam bilik sambil berdoa kepada Allah agar Allah sentiasa memelihara saya dan mereka.

Untuk pertama kalinya saya merasakan yang saya benar-benar terbang di udara. Saya terbang sedikit rendah. Sehinggakan saya berada dekat di atas atap beberapa buah rumah.

Saya terus terbang dan berusaha untuk sampai ke tempat tersebut secepat mungkin. Perjalanan saya tidaklah terlalu jauh dan saya sangat-sangat menikmati waktu-waktu tersebut.

Sehinggakan pada pengakhiran perjalanan saya telah sampai di sebuah tempat yang sangat-sangat asing dan menakutkan bagi saya.

Saya mula membaca sebuah ayat Al Quran sebagai ikhtiar perlindungan diri kepada Allah agar sesiapa saja yang ada di sana tidak akan melihat saya. Doa tersebut adalah;

“Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).” (Surah Yaasin: 9)

Di sekeliling tempat tersebut sangat-sangat gelap tetapi di tengah kegelapan tersebut ada suatu tempat yang bercahaya.

Bahkan cahaya inilah yang saya lihat dengan jelas dari rumah saya sehinggakan inilah sebabnya kenapa saya datang ke sini.

Dari cahaya terang tersebutlah saya dapat melihat beberapa orang lelaki berwarna hitam berkilat, berekor panjang hingga menyentuh lantai, berambut panjang, berbulu lebat seperti monyet, mempunyai wajah yang hodoh serta menakutkan dan berbau seperti bau bangkai.

Saya perhatikan mereka berpecah kepada beberapa kumpulan kecil. Setiap kumpulan lebih kurang berjumlah tiga hingga ke empat ekor.

Mereka menyusup masuk ke dalam beberapa buah bilik manganggu manusia-manusia yang ada di situ.

Ada yang tinggal di dalam tandas, ada yang tinggal di dalam cermin, ada yang memerhati manusia dari almari kosong, ada yang bersembunyi di bawah katil dan sebagainya. Kesemua mereka berniat untuk menganggu manusia.

Bayangkan pada ketika manusia tengah tidur, mereka keluar beramai-ramai dari arah tandas, cermin, almari kosong, katil dan apa saja ruang yang ada.

Masuk ke dalam badan manusia melalui rongga hidung telinga, mulut dan sebagainya. Sehingga menimbulkan pelbagai penyakit di kemudian hari.

Kesemuanya itu tidak menarik minat saya pada awalnya sehinggalah saya melihat salah satu dari makhluk-makluk dari merenung ke arah saya. Mungkin dia merupakan ketua bagi makhluk-makhluk tadi.

MAKHLUK BERBADAN BESAR

Kerana badannya lebih besar dari yang lainnya. Wajahnya juga lebih menyeramkan.

Perutnya juga mempunyai sebuah lubang yang besar di bahagian hadapan dan kelihatan dengan jelas beberapa ekor tikus berebut-rebut untuk memakan usus-usus perutnya yang terburai bersama dengan darah pekat yang mengalir.

Tikus-tikus yang kenyang itu kemudiannya keluar dari ruang perut tersebut dan menghilangkan diri di kegelapan malam.

Lalu diganti dengan tikus-tikus lain yang kelaparan dan bersilih ganti melahap dengan rakus usus-usus yang terburai tadi.

Saya memerhatinya dengan perasaan takut sehinggalah saya dikejutkan dan bunyi suara garau makhluk tersebut ketika dia menegur saya.

“Kenapa kamu ke sini?”

“Aku tidak berniat datang ke sini. Cuma tercari-cari saja kenapa pada kegelapan malam masih ada makhluk yang belum tidur.”

“Siang itu milik kamu dan malam itu milik kami. Siang bagi kamu, malam bagi kami, malam bagi kamu dan siang bagi kami. Apa kamu belum mengerti lagi?”

“Belum. Aku tidak faham bahasa kiasan seperti ini.”

“Kamu datang ke tempat aku. Apa perlu untuk aku perkenalkan diriku kepadamu. Kamu yang sepatutnya bertanya dulu.”

“Baiklah kalau begitu. Kamu siapa? Kita di mana sekarang? Apa mereka-mereka ini kawan-kawanmu? Sepertinya mereka menganggu manusia ketika tidur.”

“Aku adalah syaitan. Manusia benar-benar membenciku. Tetapi aku juga sebagai ikutan dan panutan bagi mereka. Apa itu tidak pelik? Hahaha..”

“Kita di mana sekarang?”

“Kamu lihat sendiri di mana kita sekarang ini.”

Saya perhatikan sekeliling. Ternyata saya memang tidak tahu tempat ini di mana sebenarnya. Semuanya sangat asing bagi saya.

“Saya tidak tahu.”

“Jadi aku tidak perlu jelaskan kita di mana. Nanti kamu tahu juga masa keluar dari sini. Juga yang kauperhatikan semuanya tadi adalah makhluk suruhanku. Mereka membuat onar dan masalah.”

“Menganggu sesiapa sahaja yang namanya manusia. Agar mereka sesat, kecewa, sedih, bingung, iri hati, dendam, lalai dan apa sahaja kejahatan yang aku diwariskan kepada mereka. Biar mereka mati di dalam kesesatan.”

“Semoga Allah melaknat kamu. Apapun alasan kamu, kamu telah menzalim manusia.”

“Menzalimi manusia? Apakah kamu tidak pernah terfikir bagaimana perasaan kami pada ketika rumah kami dirobohkan, kaum keluarga kami mati akibat dari kejahatan manusia. Pokok-pokok dimusnahkan, tempat tinggal kami di dalam tanah habis dikorek. Oleh kerana itu aku menuntut kesemua pengikut-pengkikut aku untuk menganggu manusia sehingga mereka mati atau gila.”

“Tetapi kenapa baru sekarang? Tempat ini hampir 40 tahun telah dibangun menjadi kawasan baru. Sepatutnya awal-awal dulu kamu bersikap seperti ini. Bukannya sekarang.”

“Hahaha..Memang. Kami boeh manganggu mereka dari dulu lagi. Tetapi kami biarkan saja dulu. Supaya manusia selesa. Selepas mereka selesa, lalu kami mendekati mereka, menganggu mereka serta menyesatkan mereka. Lalu pada ketika itulah mereka akan berputus asa dari rahmat Allah. Jadi apabila mereka kecewa dari rahmat Allah, maka mereka akan berputus asa dan yang tersisa cuma dendam dan kejahatan.”

“Lagipun 40 tahun tidaklah berapa lama sebab Allah kurniakan kami umur yang panjang. Untuk menunggu selama 40 tahun itu tidak meninggalkan masalah kepada kami. Hahaha..Biarlah menunggu lebih lama dari itupun tiada masalah bagi kami. Yang penting manusia akan tersesat selamanya dan terus menerus tinggal bersama kesesatan yang kami hiasi dengan kecantikan yang menggoda. Hahaha..”

“Jadi kamulah yang dinamakan syaitan dan apakah ini bentuk kamu sebenarnya?”

“Ya. Akulah syaitan. Tetapi ini bukan bentuk dari asal kami. Bahkan sebenarnya kami lebih menakutkan dari apa yang kau lihat sekarang. Ini cuma bentuk yang sekadar termampu untuk dilhat oleh manusia. Kalaulah Allah membenarkan kami menukar bentuk asal kami untuk dipertontonkan kepada manusia, aku yakin tidak akan ada manusia yang hidup kerana kesemuanya akan mati ketakutan kerana memandang rupa bentuk kami.”

“Aku tidak tahu bagaimana bentuk asal kamu dan aku juga tidak mahu tahu. Cuma aku yakin dan percaya akan firman Allah bahawa makhluk seperti kamu tidak dapat dilihat dalam bentuk asalnya. Sebab itu memang apa yang Allah telah tentukan. Firman Allah;

“… Sesungguhnya ia (iblis) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka…” (Surah Al A’raaf: 27)

“Baiklah. Sekarang kamu sudah tahu aku siapa. Lalu apa tujuan kamu ke sini.”

“Aku cuma ingin meminta petunjuk Allah sebenarnya kenapa di sini banyak gangguan makhluk seperti kamu. Itu saja. Lepas itu aku akan pulang.”

“Seperti yang engkau lihat sendiri tadi. Memang inilah rumah kami. Tahan asal kami beribu tahun dulu.”

“Apakah kamu cuba untuk menuntutnya semula? Dengan menganggu manusia yang ada di sini. Lalu dengan gangguan itu mereka tidak akan berani untuk ke sini lagi?”

“Tidak. Hahaha..”

“Lepas itu, apa mahumu sebenarnya?”

“Apakah kamu masih tidak faham lagi?”

“Tidak.”

MENYESATKAN MANUSIA

“Kalau sudah bodoh tu tetap juga akan bodoh selamanya. Hahaha..”

“Semoga laknat Allah tetap bersamamu.”

“Iya..Iya.. Macamlah golongan seperti kamu tidak dilaknat oleh Allah. Hahaha..”

“Jadi, apa yang kamu mahukan sebenarnya?”

“Yang aku mahu cuma ada dua. Menyesatkan manusia atau menyesatkan manusia. Hahaha..”

“Kedua-duanyakan perkara yang sama?”

“Memang. Maksudnya pilihan manusia itu sama ada mereka tersesat ataupun tersesat. Kami tidak mahu mereka kembali kepada Allah. Biar cuma dua itu saja menjadi pilihan mereka. Apa kamu sudah faham?”

“Tidak.”

“Bodoh sungguh kamu ini. Perkara semudah itu saja kamu tidak tahu.”

“Bukan tidak tahu. Aku cuma minta kamu yang jelaskan.”

“Boleh saja kami merasuk, menganggu dan menakut-nakutkan mereka yang tinggal di sini. Supaya mereka lari dan meninggalkan tempat ini selamanya. Biar mereka tahu bahawa kami menganggu manusia kerana mereka telah menganggu tempat asal kami. Tetapi kami biarkan saja dulu. Kerana kami melihat peluang untuk menyesatkan manusia lebih besar dari itu.”

“Maksud kamu apa?”

“Kami biarkan saja mereka. Kerana di sini juga kami sebarkan kesesatan dalam bentuk yang indah. Kami biarkan mereka minum segala macam arak yang mahal-mahal yang tidak pernah mereka minum dahulu. Yang mana kami kencingkan dulu arak-arak tersebut. Selepas itu kami goda mereka untuk meminum air kencing kami tadi sehingga mereka mabuk dan tidak dapat berfikir secara waras.”

“Juga kami timbulkan syahwat mereka dengan nafsu serakah. Kami memandang indah pada pandangan mereka wanita-wanita cantik, gebu dan seksi agar di sini jugalah kemaksiatan bermaharajalela. Jadi semua ini mudah bagi kami. Kami ketawa melihat mereka. Seperti menonton dua ekor babi yang rakus melayan nafsu serakah.”

“Kami perdengarkan juga pada mereka muzik-muzik pelbagai bentuk sebagai santapan halwa telinga mereka. Agar mengalir ke seluruh badan mereka. Sehingga tiada lagi tersisa di telinga mereka melainkan khayalan yang menyatu pada diri. Lalu membawa kepada mereka sebuah pesona yang melalaikan.”

“Pendek kata sebenarnya manusia itu tiada pilihan. Sama ada diganggu kami kerana dendam disebabkan menganggu tempat tinggal kami. Ataupun juga tetap diganggu oleh kami kerana kamilah yang membantu meniupkan kejahatan pada diri mereka. Sebagai pelengkap kepada niat mereka cintakan kesenangan dunia. Sekarang apa kamu sudah mengerti?”

“Ya. Aku faham sekarang.”

“Lalu kenapa kamu pula muncul di sini. Di tempat kami. Apa kamu tidak takut pengikut aku nanti akan menganggu kamu?”

“Aku cuma ingin tahu kenapa tempat ini sangat-sangat menganggu. Dan sekarang aku sudah faham.”

“Ya kamu memang sudah faham. Pulanglah dan jangan ganggu kami.”

“Aku akan pulang. Tetapi ingat. Aku akan datang lagi ke sini. Menyelesaikan apa yang belum selesai. Aku sekadar memberi amaran kepada kamu untuk pergi dari sini. Kerana di sini nanti akan meminta kepada Allah untuk menghalau kamu dan kami akan pagarkan dengan ayat Al Quran dan doa dari Rasulullah.”

“Hahaha..Berani-beraninya kamu ingin membuat onar di sini. Apakah kamu tidak tahu dengan siapa kamu berhadapan sekarang? Apa kamu mahu kami menimbulkan rasa takut yang tidak terperi hinggakan kematian akan menjemputmu?”

“Kematian itu pasti akan datang juga. Bukan sekadar untuk aku bahkan juga untuk kamu. Dan Allah akan mencabut nyawamu dengan penuh azab nanti. Firman Allah;

“Tiap-tiap yang mmpunyai jiwa akan merasa kematian. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahala kalian. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali Imran: 185)

MAKHLUK SURUHAN IBLIS LAKNTULLAH

“Memang begitu penghujung kehidupan kami nanti kerana tuan kami Iblis telah membuat perjanjian kepada Allah untuk diberi tangguh. Supaya kematiannya muncul ketika akhirat telah datang. Cuma sebelum itu Iblis meminta kami untuk menyesatkan sebanyak mungkin manusia yang boleh untuk dibawa sebagai penghuni neraka nanti. Dan kami tidak akan menyesal kerana inilah sebabnya kenapa kami dijadikan. Iaitu sebagai pemusnah kehidupan manusia.”

“Pulanglah kamu sekarang atau aku panggil pengikut-pengikut aku untuk menangkapmu. Untuk kami siksa. Pergilah..”

Pada ketika itu saya mula merasa ketakutan. Tiba-tiba makhluk tadi menghilangkan diri dan digantikan dengan bunyi suara orang menjerit, suara orang menangis, ketawa dan berbisik-bisik.

Bunyi-bunyi tersebut benar-benar menganggu sehinggakan hembusan dingin angin dari bunyi-bunyi tersebut menyentuh cuping telinga saya.

Di hadapan saya sekarang yang ada cuma gelap malam yang menyesakkan jiwa. Saya seperti berada di dalam sebuah bilik kosong.

Yang ada cuma sebuah kerusi yang kedudukannya tepat ke arah saya. Kerusi itu tiba-tiba muncul setelah makhluk yang menakutkan itu hilang dari pandangan mata tadi.

Beberapa kali saya perhatikan kerusi tersebut kerana mata saya seperti melihat akan kewujudan seorang perempuan yang duduk sambil memerhatikan saya.

Keadaan malam dan bilik yang gelap membatas segala pemandangan saya. Saya mula risau apabila makhluk seakan perempuan tersebut mula berdiri dan melangkah-perlahan-lahan mendekati saya.

Kulitnya pucat seperti mayat. Wajahnya tidak kelihatan melainkan dari celah-celah rambutnya yang mengurai, kelihatan bebola matanya yang kemerahan serta dengusan nafasnya yang kuat.

Saya berusaha untuk melarikan diri dengan cara keluar dari bilik ini. Tetapi saya tidak tahu bagaimana. Sedangkan perempuan tersebut semakin lama semakin dekat.

Di dalam keadaan samar-samar tersebut saya lihat seperti ada sebuah sumber cahaya yang datangnya dari sebuah pintu.

Saya tidak tahu pintu apa. Mungkin juga pintu untuk keluar dari bilik tersebut. Cuma di luar pintu itu juga penuh dengan kegelapan.

Saya tidak tahu apa lagi yang ada di luar sana dan saya cuma mampu untuk berserah diri kepada Allah saja.

Setelah sampai ke pintu tersebut, saya memberanikan diri untuk berlari keluar. Meninggalkan perempuan tadi yang semakim lama semakin dekat tadi. Saya mula berlari sambil meraba-raba apa saja yang ada di hadapan saya.

Sesampainya di luar saya dapati ada beberapa bilik di sebelah kanan dan kiri saya. Kesemuanya pintunya terbuka.

Saya perlu untuk melewati setiap pintu-pintu yang ada tersebut. Bagaimana caranya saya tidak tahu. Yang penting sekaranglah masa yang tepat untuk saya keluar.

Kalau tidak saya akan terperangkap di sini selamanya-lamanya dan dihantui oleh makhluk-makhluk ini sepanjan hidup saya.

Pada penghujung laluan tersebut sangat gelap. Saya tidak tahu berapa lama masa saya yang perlu saya ambil untuk sampai ke penghujungnya. Saya mengambil keputusan untuk berjalan saja.

Berhadapan dengan apa saja yang ada. Itupun kalau saya berani. Tetapi rasa takutlah yang membuatkan saya menjadi terkenal di kalangan kawan-kawan saya.

Setiap langkah saya, saya serah kepada Allah. Saya melangkah perlahan-lahan pada mulanya. Di setiap pintu saya lihat lantainya penuh dengan percikan-percikan darah yang segar dan masih agi panas. Juga seperti isi perut manusia yang terburai.

Setiap pintu yang saya lalui saya tidak berani untuk menjenguk ke dalam melainkan menoleh sedikit dan menjeling saja apa yang ada di dalamnya.

Kerana setiap kali melintasi pintu-pintu tersebut saya merasakan seperti ada seseorang yang menunggu saya di depan pintu.

Bunyi-bunyi suara manusia ketawa, menangis, mengilai dan merintih semakin jelas kedengaran di setiap ruang kawasan tersebut. Mengikuti ke mana sahaja saya berada. Bunyi tersebut juga seolah-olah memangil-manggil kawan-kawan mereka yang lain.

Sebab itulah saya rasakan kenapa semakin lama bunyi-bunyi tersebut semakin kuat dan saling bersahutan. Suara tersebut sepertinya sedang berkomunikasi sesama sendiri.

Saya terkejut apabila bahu saya seperti disentuh oleh seseorang. Dingin rasanya. Bukan sahaja sekadar rasa disentuh tetapi juga seperti dicuit beberapa kali. Terasa sakit apabila dicuit seperti itu.

Seolah-olah seperti daging bahu saya dicungkil keluar dari kulit badan saya dan juga meninggalkan rasa panas seperti terbakar.

LARI

Rasanya saya tidak dapat untuk bertahan lagi. Saya mula berlari sepantas yang boleh. Agar sampai ke penghujungnya.

Ketika saya berlari, tiba-tiba di suatu bilik kaki saya seperti ditahan oleh sepasang pergelangan tangan hitam yang berbulu lebat. Menenggam dengan kuat.

Saya cuba berusaha untuk melepaskan diri dan kaki saya dari terus ditahan oleh tangan tersebut. Genggaman itu sangat kukuh sehingga beberapa kali juga genggaman tersebut cuba untuk menghempas saya ke lantai.

Yang mana akhirnya saya terkulai juga. Saya terjatuh lalu diseret masuk ke dalam bilik tersebut. Saya cuba menggerak-gerakkan kedua belah kaki saya agar genggaman itu terlepas tetapi tidak berjaya.

Dalam keadaan tersebut sempat juga saya memerhati apa yag ada di sekeliling saya.

Dalam bilik tersebut penuh dengan syaitan-syaitan yang pelbagai bentuk. Ada lelaki yang berbadan tegap tetapi tidak berkepala.

Darah memancut keluar dari potongan lehernya. Juga urat-urat panjang yang terjurai dan darah membasahi badannya.

Saya juga sempat melihat beberapa ekor pontianak terbang rendah dan terapung-apung di dalam bilik tersebut.

Memandang saya dengan senyuman. Wajah mereka pucat sambil tersenyum kepada saya sehingga kelihatan jelas taring mereka yang tajam.

Yang paling menakutkan saya apabila saya melihat beberapa orang lelaki berkulit hitam berkilat, berambut panjang, kukunya yang tajam dan mereka sedang menjamah tubuh seorang manusia.

Pada ketika itu manusia tersebut masih hidup dan meminta tolong kepada saya.

Saya dapat melihat dengan jelas bagaimana beberapa orang lelaki berkulit hitam berkilat ini merobek dan mengeluarkan isi perut lelaki tadi sambil melahap dengan rakus.

Setiap usus-usus yang panjang mereka potong dengan kuku mereka yang tajam. Juga menyirup darah segar yang mengalir.

Tiba-tiba mereka berhenti dari menikmati santapan malam mereka berupa usus dan isi perut seorang lelaki tadi. Lalu mereka menumpukan pandangan ke arah saya.

Saya menjadi sangat takut. Apalagi selepas itu mereka mula melangkah secara perlahan-lahan lalu menuju ke arah saya.

Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan berserah segalanya kepada Allah. Saya pasrah dengan apa yang berlaku. Kalau inilah pengakhiran hidup saya maka Allah tahu bagaimana untuk memperlakukan tubuh badan saya nanti.

Dalam keadaan kelang kabut seperti itu, dari kejauhan saya seperti mendengar seseorang sedang memanggil-manggil saya. Semakin lama semakin kuat bunyinya.

“Abang..Abang..Bangun. Dah nak subuh ni.”

Saya mula tersedar. Saya perlu untuk balik ke rumah secepat mungkin. Sepantas yang boleh. Tetapi saya tiada kudrat. Kerana pada ketika itu kaki saya masih lagi ditahan oleh sepasang tangan besar berbulu berwarna hitam tadi.

Dengan sisa kekuatan yang ada, saya cuba untuk membaca Surah Kursiy sebagai ikhtiar meminta pertolongan kepada Allah.

Saya baca beruang-ulang kali sehingga saya merasakan bahawa pegelangan tangan itu semakin lemah.

Saya meronta-ronta sambil berusaha menendang agar genggaman tadi terlepas dan saya boleh melarikan diri saya dan kembali ke rumah secepat mungkin.

Alhadulillah akhirny dengan izin Allah genggaman itu terlepas secara perlahan-lahan.

Lalu saya berdiri dan berlari sekuat hati. Sempat juga saya menoleh pada pintu bilik tersebut. Nombor 1375. Saya masih ingat agi nombor tersebut dan saya hafal hingga sekarang. Lalu saya membaca lafaz peringatan kepada bangsa jin;

“Unaa syidukum bil ahdil ladzii ahozahuu alaikum sulaimaanu, an takhrujuu watarhaluu min baitina, unaa syidukumullaha al la tu’zuu ahada.”

“Wahai Ifrit (golongan jin) aku peringatkan kepada kamu sumpah yang dibuat oleh Nabi Sulaiman. Kamu keluar dan pergi dari rumahku dan aku peringatkan juga kepada kamu. Jangan sesekali kamu menyakiti penghuni rumah ini.”

Selepas itu saya memandang ke arah sekeliling. Saya sudah tidak tahu ke mana perginya tangan hitam berbulu lebat tersebut.

Juga pontianak yang berterbangan rendah dan juga beberapa orang lelaki yang sedang rakus melahap isi perut manusia yang masih hidup tadi.

Apabila hampir sampai ke penghujungnya, saya lihat seperti ada sebuah ruang kecil untuk saya keluar dari tempat tersebut.

Muncul pada penghujungnya seperti ruangan yang bercahaya dan angin dingin yang segar juga muncul dari tempat tersebut.

Kemudian terdengar lagi suara isteri saya untuk kali yang kedua.

“Abang..Bangun cepat..”

Saya tidak mempedulikan suara isteri saya. Yang penting bagi saya sekarang adalah keluar dari tempat tersebut dulu. Sesampainya saya ke ruangan kecil tersebut, saya terus melompat keluar dan mula terbang seperti tadi.

Cuma kali ni saya tidak menikmatinya seperti awal-awal tadi. Kesemuanya kelihatan agak terburu-buru. Kemudian saya menoleh ke belakang.

Saya dapat melihat dengan jelas nama tempat tersebut. Sebuah hotel lama yang moden. Saya tersenyum. Mungkin segala permasalahan akan terjawab juga nanti.

Dan kalau juga bukan kerana akan mendatangkan fitnah, nescaya saya akan sebutkan nama hotel berkenaan di sini.

BANGUN

Semasa meninggalkan tempat itu juga saya perhatikan banyak pasangan mata yang memerhati saya dari pelbagai sudut dan tingkat bilik.

Saya tinggalkan mereka dengan seribu persoalan yang belum terjawab sehingga sekarang.

Setelah beberapa ketika saya telah sampai ke rumah. Saya masuk dan kembali duduk di atas kerusi saya tadi.

Kemudian saya membaca Surah Kursiy lalu masuk ke dalam bilik. Saya perhatikan isteri saya masih lagi menyiapkan kerjanya.

Sepertinya dia tidak perasan akan kehadiran saya. Dan saya berhenti seketika apabila saya juga sedang memerhatikan diri saya sendiri sedang tidur nyenyak di atas katil bersama tiga orang anak saya.

Tidak lama selepas itu isteri saya menutup laptopnya dan kembali mengejutkan ‘saya’ yang sedang tertidur bersama anak-anak.

Semuanya ini saya perhatikan sambil saya berdiri di hadapan diri saya sendiri yang masih tidur.

BERSAMBUNG

Bundle KK, mu tunggu Kung Pow datang..

Comments

comments