Sewaktu menonton kartun ‘Gravity Falls’ bersama Sarah, saya teringat apabila pada minggu lepas saya bercerita kepada isteri saya berkenaan dengan pengalaman saya merawat pesakit di sebuah kampung di jalan lama Bintulu Miri.
Isteri saya mencadangkan kepada saya untuk menuliskan kisah ini pada minggu lepas. Memandangkan bahagian terakhir dari cerita ke 24 yang bertajuk ‘Kisah Hotel Lama: Misteri Tingkat 13 masih menunggu giliran untuk dipos dalam fb jadi saya tangguhkan dulu untuk menulis cerita ke 25 ini dan akan dipos pada minggu ini.
Begini kisahnya…
Suatu petang, saya baru selesai mengemas mainan anak-anak saya. Pada ketika itu mereka sedang makan di ruang tamu rumah. Kebetulan sementara menunggu azan maghrib saya mengemas apa yang patut dulu.
Di tingkat atas saya mendengar deringan hp saya berbunyi berulang kali. Saya tidak perasan berapa kali hp saya berdering.
Kerana pada waktu itu saya menggunakan ‘ringtone’ lagu dari kumpulan Search iaitu lagu ‘Balada Pemuzik Jalanan’. Lalu saya meminta Aleesya untuk mengambil hp saya di bilik.
Selepas Aleesya menyerahkan hp saya kepada saya, saya lihat ada lebih kurang 16 kali ‘miscall’. Mungkin ada hal kecemasan.
Jadi saya menghubungi kembali nombor hp tersebut. Setelah beberapa ketika, saya terdengar suara seorang lelaki.
“Assalamualaikum. Cikgu Malik ke ni?”
“Waalaikumsalan bang. Ya. Saya cikgu Malik. Ni siapa? Ada perlu apa-apa ke bang?”
“Ada cikgu. Saya Abang Azim. Saya nak mintak tolong cikgu datang ke rumah. Tolong tengok-tengokkan anak saya. Cikgu boleh datang ke rumah tak?”
“Boleh tak abang bawa anak abang ke Bangunan Martabat malam esok? Kebetulan malam esok kami ada buat rawatan kat sana.”
“Macam ni cikgu. Sebenarnya saya nak mintak tolong cikgu tengok-tengokkan juga rumah kami. Rasa macam ada sesuatu je kat rumah kami. Jadi kira dua dalam satulah ni cikgu. Nak tengok-tengokkan anak saya dan rumah kami sekali.”
“Kalau macam tu minggu depan saya ke sana bang. Insyaallah. Kalau takde halangan.”
“Emm..Kalau malam ni boleh tak cikgu? Sebenarnya saya bukan nak menganggu masa cikgu. Saya tau cikgu perlu masa untuk istirehat dan juga untuk keluarga. Tapi saya benar-benar minta tolong cikgu. Kalau tak saya tak akan ‘call’ dan mintak tolong cikgu macam ni.”
“Sebenarnya apa yang berlaku bang?”
“Panjang jugak kalau nak cerita masalah kami ni cikgu?”
“Pendekkan bang. Senang saya nak faham.”
“Baik cikgu. Macam ni. Saya sudah beristeri lebih kurang 10 tahun lepas. Lebih kurang setahun selepas tu isteri saya mengandung. Kebetulan pula isteri saya mengandung anak kembar lelaki.”
“Alhamdulillah. Bahagia hidup abang dapat anak kembar.”
“Tapi itulah cikgu. Mungkin sudah perancangan Allah. Salah seorang dari anak kembar kami meninggal dunia selepas dilahirkan. Doktor kata jantungnya sangat lemah. Kami sempat merancang memberi mereka nama sebelum mereka lahir. Anak saya yang masih hidup ni namanya Ahmad dan yang telah meninggal tu namanya Muhammad. Muhammad ni abang kepada Ahmad.”
“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un. Lepas tu bang?”
“Pada mulanya tiada apa yang berlaku. Tetapi lama-kelamaan Ahmad selalu mengadu yang abangnya selalu datang pada tengah malam dan mengajaknya bermain.”
Tiba-tiba bulu roma saya naik. Saya tiba-tiba menjadi seram dan takut apabila mendengar cerita dari Abang Azim. Memang seperti itulah keadaan saya. Selalu risau dengan kes-kes seperti ini.
“Abangnya selalu datang dalam keadaan mengerikan. Kadang-kadang matanya merah dan besar, kadang-kadang lengkap dari kepala hingga kaki tetapi muka pula tiada. Pernah sekali Ahmad menjerit dan berlari masuk ke bilik kami. Kebetulan saya dan isteri masih belum tidur lagi. Ketika itu kami masih menonton tv di bilik kami.”
“Apabila saya bertanya apa yang berlaku, Ahmad cuma memberitahu yang sebelum itu dia sedang bermain dengan abangnya. Selepas mereka puas bermain, abangnya balik dan menembusi dinding lalu masuk ke bilik kosong sebelah.”
“Tetapi kemudian tiba-tiba abangnya masuk balik ke bilik Ahmad tanpa kepala dan mengambil kepalanya yang tertinggal di atas lantai sedangkan sebelum itu masa mereka bermain abangnya sama seperti manusia biasa. Lengkap satu badan. Lepas tu seminggu Ahmad demam.”
“Pada mulanya saya tak peduli apa yang berlaku. Menurut saya mungkin Ahmad cuma bermimpi. Tetapi keadaan ini berlarutan sebulan juga lamanya. Jadi saya rasakan ada sesuatu yang menganggu anak saya sebenarnya.”
“Macam berat juga kes anak abang tu. Lagi, apa juga cerita lain yang abang nak bagitau. Kalau ada.”
“Ada cikgu. Tap saya tak pasti ada kaitan atau tidak.”
“Kaitan macamana tu?”
Abang Azim terdiam sebentar. Tidak lama selepas itu Abangg Azim kembali menyambung perbualan kami melalui hp.
RISAU
“Entahlah cikgu. Ada sesuatu yang saya risau dengan isteri saya.”
“Kenapa pula dengan isteri Abang Azim?”
“Macam ni cikgu. Isteri saya ni. Dia selalu mengamalkan sesuatu yang pelik di rumah.”
“Apa kaitannya dengan anak abang?”
“Inilah yang saya nak bagitau cikgu.”
“Ok..”
“Macam ni cikgu. Selepas kematian Muhammad iaitu anak kembar kami yang sulung tu, isteri saya seperti tidak dapat menerima kenyataan. Setiap hari isteri saya menangis, mengeluh dan menyalahkan takdir kerana kematian Muhammad. Sehinggalah pada suatu hari isteri saya memberitahu yang dia ingin berjumpa dengan seorang bomoh untuk memberi ketenangan pada hatinya. Masa itu lebih kurang sebulan selepas kematian Muhammad.”
“Pada mulanya saya tidak bersetuju. Saya berkata kepadanya kenapa tidak menjaga solat dan mengaji saja serta berdoa kepada Allah agar diberi ketenangan. Isteri saya jawab cuma dia saja yang memahami kesedihan kehilangan seorang anak. Jadi akhirnya saya mengalah dan saya benarkan isteri saya berjumpa dengan bomoh. Lagipun menurut isteri saya dia cuma meminta bomoh memberi air penawar saja untuknya.”
“Innalillahi wa inna ilaihi roji’un. Bahaya jugak tu. Inilah yang kita risaukan bang. Sebab apabila jiwa sudah tak tenteram memang senang untuk syaitan menyesatkan kita. Haram hukumnya di dalam Islam kita berjumpa dan meminta tolong kepada bomoh. Sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.” (HR. Muslim (5957)
“Manakala, Barangsiapa yang pergi berjumpa dan mempercayainya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang telah diwahyukan oleh Allah SWT kepadanya hal-hal yang ghaib. Tidak ada yang mengetahui hal-hal ghaib kecuali Allah SWT. (Al Fatawa Al Mu’asirah, 319)
Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” (HR. Ahmad (9171)
“Sampai begitu sekali kita diharamkan berjumpa dengan dukun ni cikgu?”
“Betul bang. Sebab dukun inilah yang banyak membawa kesesatan dan meruntuh kerukunan rumah tangga serta memecah-belahkan keluarga.
“Ada lagi cikgu.”
“Apa dia bang?”
“Bomoh tu pada mulanya minta supaya disediakan apa-apa saja sama ada pakaian atau lampin atau sebagainya barang yang pernah digunakan untuk mengurus anak saya Muhammad dulu. Kebetulan pada ketika itu isteri saya ada menyimpan tali pengikat kain kafan anak saya dan juga tali pusat yang direndam di dalam botol minyak kelapa. Kan itu yang biasanya dilakukan oleh orang tua kita dulu cikgu.”
“Betul tu bang.”
“Lepas tu isteri saya menyerahkan tali pengikat kain kafan dan tali pusat anak saya kepada bomoh tu. Selepas beberapa hari bomoh tersebut meminta isteri saya untuk datang ke rumah bomoh tersebut untuk mengambil kain kafan dan tali pusat yang kononnya dan dibacakan ayat Al Quran. Sebelum balik ke rumah bomoh tersebut memberitahu bahawa nanti setiap malam Muhammad akan datang menziarahi kami sekeluarga.”
“Menurut bomoh tu juga sebenarnya anak saya Muhammad bukan meninggal dunia. Cuma rohnya tersesat masuk ke alam lain. Jadi, sebab itulah jasadnya semakin memburuk selepas dia meninggal dunia. Bomoh tu bagitau kalau nak berjumpa anak mereka Muhammad, kami mesti bersetuju untuk membenarkan ‘Muhammad’ ni masuk ke dalam badan adiknya iaitu Ahmad.”
“Kemudian saya dan isteri saya mestilah menyediakan sebuah bilik kosong khas untuk Muhammad. Lengkap dengan katil bayi, almari bayi, bayu, seluar, lampin, botol susu, mainan dan apa-apa saja yang berkaitan dengan bayi.”
“Kami juga diminta menyediakan sebuah patung mainan dan mesti dibungkus seperti mayat. Kemudian tali pengikat kain kafan anak saya diikat di bahagian tengah patung berkenaan. Lalu patung tersebut diletakkan di tengah-tengah katil. Botol tali pusat anak saya yang bercampur dengan minyak kelapa tadi pula digantung di permukaan pintu bilik kosong tersebut.”
“Pada mulanya saya tidak mahu menuruti apa yang diminta oleh bomoh tersebut sehingga isteri saya merajuk dan menangis sepanjng malam. Akhirnya saya mengalah juga cikgu. Saya tak sanggup melihat keadaan isteri saya berterusan begini. Saya benarkan isteri saya menyediakan apa yang diminta oleh bomoh tersebut. Sehinggalah sekarang isteri saya masih lagi melakukan apa yang bomoh tu minta.”
“Susah jugak kalau ikut kes keluarga Abang Azim ni. Ni di antara perkara syirik dan kasih sayang abang kepada keluarga abang. Last-last keadaan semakin teruk. Kita risau kalau-kalau Ahmad yang akan menjadi mangsa nanti. Lepas tu apa yang terjadi?
“Betul cikgu. Pada mulanya saya ingat semua ni akan selesai. Tetapi tak bahkan semakin teruk. Pening saya dibuatnya cikgu.”
“Apa lagi masalahnya bang?”
“Keadaan semakin teruk cikgu. Anak saya Ahmad kerap kerasukan pada menjelang maghrib. Konon-konon yang merasuk tu adalah Muhammad. Isteri saya pula selalu memuja patung Muhammad saya tadi dan bercakap-cakap dengan patung tersebut. Kadang-kadang yang peliknya apabila kami berada di ruang tamu atau di dapur atau menonton tv, kami selalu mendengar suara budak kecil dari bilik Muhammad. Bilik yang menempatkan patung tadi. Kami juga mendengar bunyi seseorang mengetuk dinding dari sebelah.”
“Kadang-kadang seram juga kerana suara dari bilik Muhammad selalu memanggil-manggil nama kami bertiga. Yang paling saya risau ialah isteri saya sering menjawab panggilan tersebut. Lebih kurang macam ni bunyinya cikgu;”
“Iya nak. Mak kat luar ni. Nantilah mak masuk ke sana. Belum masa makan lagi ni. Muhammad jangan ganggu mak. Muhammad mainlah dulu. Adik Ahmad juga ada kat sini. Nanti mak suruh dia masuk dalam bilik dan bermain dengan Muhammad.”
Allahu Rabbi. Rasa macam nak terbang apabila saya mendengar apa yang diceritakan oleh Abang Azim. Rasa takut juga semakin menyelubungi diri saya. Itu belum lagi kalau saya pergi ke rumah mereka. Tapi bagi saya, saya adalah Allah untuk menemani saya.
“Selalu ke bunyi ketukan atau suara menanggil-manggil nama tu bang?”
KELIBAT SEORANG BUDAK KECIL
“Dulu jarang cikgu. Sekarang ni hampir setiap malam. Kalau bunyi-bunyi semua tu cuma berada di dalam bilik tak apa juga cikgu. Tapi sekarang benda tu macam dah keluar dari bilik dan berada di kalangan kami dan memerhati kami. Itu yang saya risau cikgu. Sekarang kami selalu melihat kelibat budak kecil. Rupa bentuknya dan wajahnya sama seiras seperti Ahmad. Cuma sedikit kurus tetapi kadang-kadang menakutkan.”
“Pernah juga, dapur rumah kami seperti ada orang sedang makan. Menarik kerusi, mencuci pinggan mangkuk, suara bercakap-cakap dan sebagainya. Yang paling menakutkan saya apabila pada minggu lepas saya terbangun dari tidur. Tekak rasa haus dan saya ke dapur untuk meminum air. Saya sempat melihat isteri saya tidur nyenyak di sabelah. Kemudian saya pergi ke bilik Ahmad dan melihat Ahmad juga sedang tidur dengan nyenyak.”
“Apabila sampai di dapur saya lihat isteri saya dan Ahmad sedang bermain-main dengan seorang budak lelaki tanpa kepala. Menjerit saya cikgu sehinggakan mereka bertiga serentak memandang ke arah saya. Saya berlari sepantasnya masuk ke dalam bilik dan budak lelaki tanpa kepala mula mengejar saya. Saya kunci pintu dari dalam. Lalu saya mengejutkan isteri saya dari tidur.”
“Isteri saya terjaga lalu memandang saya. Saya ceritakan apa yang berlaku. Isteri saya cuma ketawa dan menyindir saya. Menurutnya itulah padahnya kerana saya tak percaya kalau Muhammad itu sebenarnya masih hidup. Selepas puas ketawa isteri saya lalu menyambung tidurnya. Saya masih tidak berpuas hati. Saya bacakan apa-apa saja surah untuk menguatkan diri saya. Saya juga perlu masuk ke bilik Ahmad untuk melihat keadaan dan keselamatannya.”
“Semasa keluar dari bilik saya lihat semuanya sepi dan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Pada awalnya saya akui yang mungkin saya berkhayal tadi. Tetapi apabila saya masuk ke bilik Ahmad, saya terkejut kerana saya lihat isteri saya dan Ahmad sedang tidur. Mereka terjaga dan memandang saya kehairanan. Saya juga merasa hairan kerana isteri saya ada di bilik Ahmad sedangkan baru sekejap tadi saya lihat isteri saya ada bersama saya di dalam bilik.”
“Untuk kepastian, saya ambil selipar di belakang pintu bilik Ahmad dan membaling selipar tersebut ke arah isteri saya. Apa lagi. Marahlah isteri saya. Mana taknya. Tiba-tiba saja saya masuk ke bilik Ahmad, memandang mereka kehairanan lalu mencampakkan selipar ke arahnya. Saya tak pedulikan semua itu. Lalu saya berjalan perlahan menuju katil mereka. Saya bacakan Surah Kursiy tapi tiada apa yang berlaku.”
“Barulah saya perasan bahawa saya sedang diganggu oleh syaitan. Saya bukan bermimpi sebaliknya semua yang berlaku adalah ketika saya masih sedar. Tetapi cikgu. Selepas itu saya kembali masuk ke dalam bilik saya. Ternyata tiada orang cikgu. Lalu siapa yang bercakap dan ketawa. Juga menemani saya tidur. Sedangkan isteri saya yang sebenarnya berada di dalam bilik Ahmad. Siapa yang tidur bersama saya tadi. Allahu rabbi.”
“Juga siapa yang saya lihat sedang bermain dengan lelaki tanpa kepala di dapur tadi? Masa itu isteri saya dan Ahmad juga ada di sana. Saya bingung cikgu. Mana satu isteri dan anak saya yang sebenarnya. Sebab itulah saya minta cikgu datang ke rumah. Bantu apa yang patut. Buntu kepala saya cikgu. Mati akal saya dibuatnya.”
“Kalau macam tu baiklah bang. Insyaallah malam ni saya datang.”
“Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak cikgu. Semoga Allah merahmati cikgu sekeluarga.”
“Malam ini lepas isya saya datang. Nanti abang tunggu kat mana?”
“Malam ni saya solat isya di Surau Batu 10 cikgu. Kat Kampung Penan Muslim. Lepas tu saya tunggu cikgu kat situ. Dari situ nanti kita gerak ke rumah kami. Lebih kurang beberapa km je dari Kampung Penan Muslim.”
“Baiklah bang. Insyaallah. Lepas isya nanti saya terus ke sana.”
“Ok cikgu. Terima kasih. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Selepas tamat perbualan saya dengan Abang Azim, saya memandang ke arah anak-anak saya yang sedang menonton cerita ‘Gravity Falls’ di tingkat bawah rumah. Isteri saya pula sedang mengemas meja makan dan mencuci pinggan.
Saya memandang ke arah anak-anak saya sambil memikir kembali kisah seram yang menghantui keluarga Abang Azim. Perasaan risau mula menyelubungi diri saya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku nanti.
Selepas solat maghrib, saya meminta izin kepada isteri saya untuk pergi ke rumah Abang Azim. Isteri saya meminta supaya saya membawa beberapa orang rakan bersama. Kebetulan pula pada malam tersebut rakan saya telah diamanahkan oleh abang saya Ustaz amir untuk pergi ke tiga buah rumah yang lain. Sama ada untuk urusan merawat pesakit atau memagar rumah.
Jadi pada malam itu saya mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke rumah Abang Azim. Saya tidak risau kerana sebelum ini saya juga bersendirian pergi ke rumah pesakit.
Tetapi sekarang jarang. Saya lebih suka untuk meminta pertolongan kawan-kawan saya pergi ke rumah pesakit.
Selepas solat isya dan solat hajat, saya meminta izin isteri saya untuk keluar. Biar isteri saya meredhai perjalanan saya pergi ke rumah Abang Azim. Sedangkan saya serahkan keselamatan keluarga saya kepada Allah.
Dari rumah kami ke rumah Abang Azim mengambil masa lebih kurang 30 minit kerana saya membawa kereta sedikit perlahan dari kebiasaannya. Kalau saya memecut kereta saya mungkin cuma mengambil masa 20 minit saja.
Tetapi kalau saya bawa lebih laju dari itu, saya mungkin tidur di dalam longkang nanti. Sementara menunggu kereta lalu lalang keesokan harinya berhenti untuk mengutip saya.
Pada malam tersebut jalan raya agak sedikit sibuk. Walaupun jam menunjukkan lebih kurang dalam pukul 8.30 malam.
Kebanyakan kereta masih lagi bergerak pantas menuju ke destinasi masing-masing. Kebanyakannya bertumpu di kawasan lebuh raya Medan Jaya.
Saya sedikit terhibur melihat pemandangan seperti ini. Sehingga terlupa sebentar tentang kerisauan pada jiwa saya yang mana saya akan berjumpa dengan Abang Azim dan keluarganya dan mungkin juga bersua dan berkenalan dengan Muhammad. Na’udzubillah..
Selepas melepasti lampu isyarat di kawasan Signature Park, kabus mula menganggu pemandangan apabila kereta saya meluncur masuk ke sebuah jambatan.
Dingin mula terasa. Melewati jambatan ini sepertinya saya sedang masuk ke sebuah alam lain.
Saya disambut oleh rimbunan pohon-pohon hutan di pinggir jalan. Cuma ada beberapa buah rumah sahaja yang ada. Kerdipan lampu di rumah mereka juga cukup untuk menyuluh perkarangan rumah.
Jalan raya juga semakin gelap. Suasana semakin suram. Kabus semakin merimbun rendah. Suara riuh rendah dari bunyi kereta dan motosikal diganti dengan deruan dingin angin dan juga bunyi cengkerik dan unggas hutan.
Pada ketika itu sya mula rasa seperti diperhati dari segenap sudut. Lingkaran dahan pohon di tepian jalan juga seolah-olah menyambut saya untuk bertemu dengan sesuatu yang saya sendiri tidak tahu. Aneh rasanya perasaan saya ketika itu.
Selepas beberapa ketika, akhirnya sampai juga di Surau Batu 10. Tepatnya di Kampung Penan Muslim. Sementara menunggu azan isya, saya sempat bersua dan bercerita dengan beberapa orang jemaah di situ dan kebetulan pula mereka adalah kawan saya.
SOLAT ISYA
Selepas azan isya berkumandang, saya bersama dengan jemaah yang lain solat isyak bersama-sama. Selepas habis solat isya saya kemudiannya menunaikan solat sunat dua rakaat untuk meminta petunjuk dan perlindungan dari Allah. Semoga urusan saya akan dipermudahkan oleh Allah nanti. Pergi dan balik.
Selepas selesai berdoa, saya sempat bersalam dengan beberapa orang jemaah di situ. Dan kemudian berjalan menuju ke pintu masuk masjid.
Ada beberapa orang jemaah mengambil kesempatan untuk bercerita sambil bergelak ketawa dengan jemaah yang lain.
Sebahagiannya pula terus balik ke rumah masing-masing dengan menaiki kereta dan motosikal. Ketika itu saya sempat juga untuk melihat-lihat di antara jemaah yang belum balik. Mungkin ada Abang Azim di antara jemaah-jemaah tersebut.
Semasa menuju ke arah kereta, saya disapa oleh seorang lelaki. Berbadan tinggi, tegap, berkacamata dan berjubah. Wajahnya ada iras Dato M. Nasir.
Itu menurut pandangan mata saya. Kalau menurut pandangan mata orang lain, mungkin juga dia kelihatan seperti Nasir Bilal Khan. Cuma Nasir Bilal Khan versi Batu 10 Kampung Penan Muslim ini tidak membawa cangkul.
Lelaki itu memberi salam kepada saya sambil menghulurkan tangannya. Lalu saya sambut salam tersebut dengan penuh kemesraan.
“Assalamualaikum cikgu. Minta maaf saya ke tandas sebentar tadi. Nak cuci tahi cicak yang melekat kat tapak kaki. Saya Abang Azim.”
“Waalaikumsalam bang. Takpe. Nasib baik tahi cicak. Kalau tahi anjing lagi panjang ceritanya bang.”
Jawab saya sambil mengharapkan Abang Azim menyambutnya dengan ketawa. Tetapi Abang Azim cuma tersenyum sahaja sambil memperbetulkan lipatan pada lengan kain jubahnya.
“Jom cikgu. Kita terus pergi ke rumah saya.”
“Jom bang..”
“Cuma..”
“Kenapa bang?”
“Macam ni. Saya rasa isteri saya tak mengalu-alukan kehadiran cikgu. Sebelum ke sini tadi saya sempat bergaduh dengan isteri. Saya bagitau cikgu nak datang rawat anak kami Ahmad dan tengok-tengokkan rumah kami.”
“Abang Azim tak beritahu isteri abang awal-awal ke saya nak datang?”
“Tak cikgu. Kalau saya beritahu gerenti dia tak setuju. Sebab itu saya tak nak bagitau awal-awal.”
“Kalau macam ni susahlah bang. Saya ni kalau boleh kena mintak persetujuan abang dan isteri abang dulu untuk tengok-tengokkan rumah dan anak abang tu baru saya sanggup datang.”
“Rancangan asal saya macam tulah tapi saya tahu memang isteri saya takkan setuju. Sebab tu saya bagitau isteri saya ‘last minute’ macam ni. Tapi tak apa cikgu. Semua risiko tu saya yang tanggung. Jom cikgu.”
Saya berjalan perlahan mengikut langkah Abang Azim. Ntah kenapa agak berat rasanya saya untuk datang ke rumah Abang Azim setelah diberitahu oleh Abang Azmi yang isterinya keberatan dengan kehadiran saya di rumah mereka nanti.
Tetapi memandangkan saya telah sampai separuh jalan dan saya juga tidak mahu menghampakan pemintaan Abang Azim di saat akhir, lalu saya setuju untuk pergi ke rumah mereka.
Dan saya perlu bersedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan nanti.
Sebelum ini juga saya pernah menghadapi keadaan seperti ini sehinggakan saya dan kawan-kawan saya pernah dihalau dari rumah pesakit kerana pesakit tersebut tidak mahu dirawat oleh sesiapa.
Apa lagi keluargnya tidak memberitahu dulu akan kehadiran kami di rumahnya.
“Cikgu naik kereta cikgu. Kemudian ikut kereta saya dari belakang. Rumah saya dalam enam ke tujuh km dari surau ni cikgu.”
Saya cuma tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala saya.
Selepas masuk ke kereta masing-masing, saya mula mengikuti kereta Abang Azim dari arah belakang. Sambil itu saya mula membaca taawudz, basmalah dan doa perlindungan.
“Bismillahilladzi laa yadhurru ma’asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama’ie wa huwas sami’ul ‘alim.”
“Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa, “Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat akan sesuatu yang di bumi dan yang di langit (selagi) bersama dengan NamaNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya dan barangsiapa membacanya ketika waktu subuh sebanyak tiga kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya (HR. Abu Daud, At Tirmizi dan Ahmad)
Selepas itu perjalanan saya ditemani dengan lagu dari Kumpulan Rock 80 an Helter Skelter, ‘Melissa’. Kalau sesiapa sahaja yang baru putus cinta dengan sang kekasih sambil mendengar lagu ini, saya yakin air mata jantannya pasti akan mengalir keluar dengan deras.
Apa lagi konon-kononnya menarik suara sambil menggenggam tangan ibarat memengang ‘microphone’ sambil melafaz lirik;
Di tepi pantai ini
Terukir satu memori
Sungguh indah kurasakan
Ku mengakagumimu
Sinaran matamu
Senyum di bibirmu
Dewiku oh Melissa
Oh Melissa
Kau kupuja oh…
Dengan mata yang tertutup sambil kita membayangkan wajah gadis pujaan hati duduk di hadapan kita sambil mendengar kita menyanyi dengan penuh penghayatan, seolah-olah perempuan tersebut pasti akan memaafkan kita dan kembali kepada cinta monyet kita sebelum ini.
Tetapi jangan harap. Sesungguhnya perempuan itu akan lari menyelamatkan diri sebelum mendengar kita menyanyikan lagu ‘Melissa’ tadi. Punah semua harapan.
Kerana menyelamatkan diri itu lebih penting dari menyerahkan telinga sendiri dari mendengar suara nyanyian dari kubur.
Sepanjang perjalanan singkat tersebut tiada apa-apa yang berlaku. Pada ketika itu saya juga sedang melayan lagi ‘Melissa’ tadi. Sehinggalah sampai pada suatu simpang, kami belok dan masuk ke simpang sebelah kiri.
Kami terpaksa melalui jalan berbatu. Lebih kurang dalam dua km. Itupun perjalanan kami seperti sangat-sangat lama dan terpaksa melalui pohon-pohon hutan yang rendang dan menyeramkan sehinggakan ranting pohon-pohon tadi tumbuh meliar dan menyentuh pada bumbung kereta saya dan menghasilkan alunan muzik yang menyeramkan.
Setelah beberapa ketika, kami telah sampai di sebuah rumah setingkat. Agak besar juga. Saya tidak tahu yang di dalam hutan seperti ni ada sebuah rumah yang besar dan cantik.
Pemandangan di sekitarnya saya tidak tahu. Kerana gelap malam menyembunyikan kesemua misteri yang ada.
Sesampainya di halaman rumah, saya mematikan enjin kereta lalu mengukuti Abang Azim dari arah belakang. Menuju ke pintu masuk rumah mereka.
Saya perhatikan sekeliling halaman rumah mereka sambil menunggu Abang Azim membuka pintu rumah mereka.
Gelap dan sunyi. Bunyi unggas rimba malam sahut–menyahut. Seperti meraikan kehadiran saya sebagai tetamu yang tak diundang.
Risau juga saya pada ketika itu kerana dari kegelapan hutan malam tersebut seperti ada mata yang memerhati pergerakan kami.
SUARA KERAMAIAN
Saya juga dapat menangkap bunyi seperti suara orang ramai mengadakan suatu pesta. Suara angin bayu yang menyapa juga seperti mencuit bahu saya dengan perlahan sehingga saya sempat menjamah bahu kiri saya. Kalau-kalau ada orang yang menyentuhnya dengan lembut.
“Jemput masuk cikgu.”
Suara dari Abang Azim mematikan khayalan saya. Saya kembali memandang wajah Abang Azim sambil tersengih.
“Iya bang. Terima kasih.”
Lalu kamipun masuk ke dalam rumah Abang Azim. Ruang tamu di rumah Abang Azim kelihatan agak luas tetapi penuh dengan barang perhiasan lama seperti tempayan, pasu dan gambar-gambar lama. Juga gambar Abang Azim bersama isteri dan anak mereka Ahmad.
“Silakan duduk cikgu. Inilah rumah kecil kami.”
“Ni bukan rumah bang. Ni istana. Hahaha..Barang-barang perhiasan lama ni milik siapa bang?”
“Isteri abang. Dia suka simpan barang-barang lama.”
Jawab Abang Azim sambil melabuhkan punggungnya ke sebuah kerusi tua. Rasanya dari kayu jati. Berwarna coklat tua dan sudah pudar.
Kemudian saya berjalan untuk melihat gambar mereka sekeluarga. Saya pelik melihat gambar tersebut. Seakan-akan hidup dan memandang saya.
Sekali imbas saya perhatikan di dalam gambar tersebut seperti ada empat orang kesemuanya. Abang Azim, isterinya, Ahmad dan juga mungkin Muhammad.
Saya mula merasakan ada sesuatu yang pelik lalu saya beristighfar dan melafazkan kalimat istighfar.
Wajah seakan-akan Ahmad tersebut seperti sedang marah apabila saya memandang wajahnya. Hampir-hampir sahaja saya bertanyakan kepada Abang Azim tentang siapakah budak lelaki tersebut.
“Astaghfirullahal ‘azhim..”
“Kenapa cikgu. Macam terperanjat saja. Tu gambar kami tiga beranak semasa mengambil gambar di kedai foto di Medan Jaya tahun lepas.”
Saya memandang Abang Azim dengan wajah sedikit terkejut. Apalagi ketika Abang Azim menyatakan yang cuma mereka bertiga sahaja di dalam gambar tersebut.
Lalu saya matikan niat saya untuk bertanyakan soalan tadi.
‘Tak ada apa-apa bang. ‘Handsome’ juga anak abang ni. Hahaha..”
Tidak lama kemudian saya terdengar bunyi bilik di sebelah belakang seperti terbuka. Lalu keluar seorang wanita dalam lingkungan umur 50an berjalan ke arah kami.
Wajah bengis dan masamnya memandang saya seperti tidak mengalu-alukan kehadiran saya.
“Abang, kan saya dah bagitau abang jangan suka hati nak bawa orang tak dikenal datang ke rumah. Ntah-ntah dia ni ada niat lain. Nak mencuri barang rumah kita ke. Lain kali mintak persetujuan saya dulu.”
Allahu rabbi. Malunya saya pada ketika itu. Bukan sekadar tidak dialu-alukan tetapi dimalukan di hadapan Abang Azim. Hampir-hampir saya saya terniat nak angkat kaki dan terus balik ke rumah.
Tetapi mengenangkan Abang Azim meminta pertolongan saya, jadi saya batalkan niat saya dulu.
“Awak ni kenapa? Kan abang dah bagitau saya nak jemput orang datang ke rumah. Tengok-tengokkan Ahmad dan rumah kita ni. Itulah awak. Percaya sangat dengan bomoh tu. Tunggang terbalik keluarga kita jadinya.”
“Sukati abanglah. Kalau apa-apa terjadi pada anak kita, saya tak akan maafkan abang sampai kiamat.”
“Sebab sayangkan keluarga kitalah abang buat macam ni. Awak ni macam tak ada pegangan agama. Percaya sangat dengan tali barut syaitan tu. Semua benda syirik awak buat.”
“Saya buat ni untuk kebaikan keluarga kita. Lelaki yang saya mintak tolong tu bukan bomoh. Dia lebih tahu pasal akhirat dan benda ghaib. Tak macam budak yang awak bawak ni. Selekeh, dahlah pakai seluar jean dan baju kartun ‘Hellboy’. Nampak sangat ada niat tak bagus.”
Saya cuma tersenyum saja. Juga terkejut kerana saya tidak menyangka sampai begitu sekali penghinaan yang akan saya terima dari isteri Abang Azim.
“Saya pakai macam ni buka sebab ada niat tak bagus kak. Memang saya suka pakai macam ni. Asal menutup aurat dan boleh menutup mulut dari dari menghina orang lain. Allah tak suka orang berburuk sangka kak. Apa lagi menyimpan perasaan benci di dalam hati. Allah tu tuhan saya dan tuhan kakak.”
“Sukati abanglah. Tetapi saya tak akan izinkan budak ni berada di dalam rumah kita.”
Lalu isteri Abang Azim meninggalkan kami lalu kembali masuk ke dalam biliknya.
Krik..Krik..Krik..
Abang Azim memadang saya. Wajahnya kemerahan menahan malu dan marah. Mungkin tidak menyangka yang isterinya akan berkata-kata seperti itu.
“Saya minta maaf cikgu. Mungkin isteri saya tak puas hati yang saya tak suka dengan apa yang dia buat selama ini.”
“Tak apa bang. Saya faham. Tak semua orang suka dengan kebaikan yang kita lakukan.”
“Sekali lagi saya minta maaf cikgu. Cikgu, saya nak masuk ke dalam bilik sekejap. Saya nak panggil Ahmad ke luar ruang tamu ni.”
“Ok bang..”
Selepas itu Abang Ahmad masuk ke dalam bilik mereka. Saya rasa mungkin itu bilik Abang Ahmad dan isterinya.
Saya memandang sekeliling ruang tamu dan ruangan di hadapan saya. Di sebelah bilik mereka ada dua buah bilik lain dan sebuang lorong menuju ke dapur.
Tiba-tiba saya rasa seram. Saya baru teringat yang saya berada di ruang tamu seorang diri. Di luar cuma ada hutan yang gelap. Bulu roma saya tida-tiba berdiri.
Saya cuba untuk tidak melayan perasaan saya. Sebab kalau dah takut memang susah untuk kita berfikir secara normal.
Rasa geram juga masih tersisa di hati. Kenapalah celupar sangat mulut siteri Abang Azim tadi. Dan kenapalah Abang Azim meninggalkan saya agak lama keseorangan di ruang tamu ini.
Mungkin Abang Azim masih berbincang dan memujuk isterinya. Jadi saya biarkan saja dulu Abang Azim mengambil masanya. Biar dia selesa dan tak merasa terlalu tertekan.
Sedang saya duduk melayan perasaan saya tiba-tiba saya terdengar bunyi ketukan dari salah satu dari bilik.
Dum..Dum..Dum..
Saya cuma mencari dari arah manakah bunyi tersebut.
Dum..Dum..Dum..
Saya mula gelisah dan tertanya-tanya dari manakan bunyi pukulan tersebut. Yang pastinya memang dari salah sebuah bilik dari ketiga-tiga bilik tersebut. Saya merasa serba salah untuk pergi ke arah bilik tersebut.
Sebab kalau tiba-tiba isteri Abang Azim membuka pintu dan melihat saya terhendap-hendap pada salah satu bilik tersebut, tentulah saya bersandar di dinding akibat diterajang oleh isteri Abang Ahmad.
Lagi kukuhlah alasannya yang saya ini memang hendak mencuri barang di rumah mereka.
Tetapi saya kuatkan hati untuk melangkah juga pergi ke arah bilik bersebelahan dari bilik Abang Azim. Setiap langkah saya, saya iringi dengan bacaan Surah Al Fatihah.
Sehinggalah saya sampai di hadapan pintu bilik ketiga yang paling dekat dengan dapur.
Saya cuba mendekatkan telinga saya ke arah dinding pintu. Tetapi saya tidak mendengar apa-apa bunyi. Kemudian saya berpindah ke bilik tengah dan kembali mendekatkan telinga saya pada dinding pintu bilik.
SUARA DARI BILIK
Pada mulanya saya tidak mendengar apa-apa. Tetapi apabila saya ingin kembali ke ruang tamu selepas saya puas bahawa tidak ada bunyi ketukan pada salah satu dari dua pintu tersebut, langkah saya tiba-tiba terhenti. Saya mendengar bunyi sesuatu.
“Hihihihi..Kenapa suka menganggu keluarga kami? Apa kamu tidak punya keluarga sendiri?”
Saya tidak menjawab. Saya cuba mencubit pipi saya sendiri. Untuk kepastian yang saya tidak berkhayal. Lalu kembali mendakapkan telinga saya ke arah pintu yang kedua tadi.
“Iya..Kamu..Di sini cuma kita berdua. Dipisah dengan sebuah pintu. Kamu tidak melihat aku tetapi aku dapat melihat kamu dengan jelas dari bilik ini. Kembalilah. Pulanglah kamu ke rumah. Jangan ganggu kami. Aku ingin terus bersama ibu. Kami telah berjanji untuk tetap bersama selamanya.”
“Sebab itulah aku menanti akan kematian ibu dan kemudian adikku Ahmad. Akan aku bunuh kedua-duanya nanti. Supaya kami bisa bertemu kembali. Sebagai sebuah keluarga bahagia yang teah lama terpisah. Hahaha..”
Saya terkejut dan tidak berani untuk berdiri lama-lama di situ. Apa lagi mendengar suara yang saya tidak tahu milik siapa. Walaupun suara tersebut seperti suara budak kecil tetapi suara budak kecil tidaklah segarau itu.
Saya kembali ke ruang tamu dan duduk di kerusi. Jiwa saya bercampur aduk. Antara takut, terkejut dan kehairanan.
Saya cuba untuk mengawal perasaan saya. Saya menjadi bertambah risau apabila pintu bilik tengah seperti terbuka dengan sendiri.
Akhirnya pintu tersebut terbuka dengan luas. Dari kejauhan saya melihat di dalam bilik tersebut cuma hitam dan gelap.
“Kemarilah. Datanglah padaku. Aku akan perlihatkan padamu bagaimana rupa aku sebenarnya. Apa kamu berani. Hahaha..”
Suara dari bilik tersbut jelas kedengaran. Saya menjadi semakin takut. Tapi untuk berlari ke luar dan balik ke rumah juga saya tidak berani. Mati keringlah saya di sini nanti.
Dalam keadaan ketakutan seperti itu, akhirnya saya membaca Surah Kursiy dan berdoa kepada Allah agar dilidungi dari segala gangguan jin dan syaitan.
“Allah tidak ada Tuhan melainkan Dia yang Maha Kekal lagi terus menerus mengurus makhlukNya, tidak mengantuk dan tidak tidur. KepunyaanNya apa yang di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izinNya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang meraka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursiy Allah meliputi langit dan bumi, Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah Al Baqarah: 255)
Selepas itu pintu bilik Abang Azim terbuka. Abang Azim lalu keluar dari biliknya dan memimpin tangan seorang budak kecil. Mungkin Ahmad.
Takkanlah Abang Azim hendak memimpin tangan Muhammad yang telah lama meninggal dunia.
Selepas itu Abang Azim kembali menutup pintu biliknya. Tiba-tiba saya merasa pelik kerana pintu bilik tengah tiba-tiba tertutup rapat sedangkan sebelumnya terbuka luas.
Mungkin pintu tengah tersebut ditutup oleh sesuatu ketika Abang Azim membuka pintu biliknya tadi. Jadi pandangan saya dihalang oleh pintu bilik Abang Azim sehingga saya tidak tahu bila pintu bilik tengah itu ditutup.
“Minta maaf cikgu sebab lama menunggu. Susah jugak nak berbincang dengaan isteri saya tu cikgu. Tapi tak apa cikgu. Saya paksa jugak isteri saya untuk mengikut kata-kata saya untuk merawat Ahmad walaupun isteri saya tak setuju.”
“Tak apalah Bang Azim. Saya faham. Tapi kalau boleh lepas ni biar isteri Abang Azim setuju dulu untuk urusan macam ni. Saya tak nak disalahkan nanti. Saya juga tak selesa kalau nak bantu orang dalam keadaan macam ni.”
“Ya cikgu. Saya minta maaf sekali lagi. Tetapi kalau saya tak buat maam ni isteri saya tetap tak akan izinkan.”
“Ya bang. Tak apalah. Saya faham. Lagipun saya dah datang ke sini.”
“Baik cikgu. Ni saya bawakan Ahmad sekali. Dia tengah tidur tadi. Liat jugak saya nak kejutkan dia.”
“Isteri Abang Azim macamana?”
“Tengah marah kat bilik tu. Habis saya disumpah seranahnya tadi. Hahaha..”
“Kalau macam tu saya fikir untuk malam ni saya akan rawat Ahmad saja dulu bang.”
“Tak nak tengok rumah sekali ke cikgu.”
“Macam tak sesuai bang. Sebab kalau boleh saya nak seluruh anggota keluarga redha dan setuju. Saya perlu untuk masuk ke semua tempat dan bilik. Itupun dengan persetujuan keluarga. Tapi saya tak rasa yang isteri abang setuju.”
“Lepas tu macamanalah cikgu?”
“Begini. Kita rawat dulu Ahmad ni. Rumah abang lain kali kita uruskan. Biar isteri abang setuju dan redha. Kalau tak, walaupun rumah ni dah kita pagar dengan ayat Al Quran tetapi penghuni rumah masih ada lagi melakukan perbuatan syirik dan khurafat, macamana Allah nak tolong dan redha dengan usaha kita.”
“Saya faham cikgu. Kalau macam tu ikut selesa cikgulah macamana. Nanti-nanti saya cuba untuk pujuk isteri saya.”
“Ok. Terima kasih bang. Jadi boleh kita mula sekarang”
“Silakan cikgu.”
Kemudian saya memerhatikan wajah Ahmad. Ahmad masih lagi sedang duduk di sebelah Abang Azim meletakkan kepalanya di badan Abang Azim. Matanya tertutup. Mungkin sedang nyenyak tidur tadi.
Saya kemudiannya duduk di atas lantai sambil berdoa kepada Allah agar diberi perlindungan.
Saya memegang tangan Ahmad dan memimpinnya untuk duduk di hadapan saya. Abang Azim pula duduk di belakang Ahmad.
“Ahmad dengar bacaan ayat Al Quran dari cikgu ok. Ahmad dengar saja. Tak payah ikut.”
Ahmad mengangguk-anggukkan kepalanya sambil matanya masih lagi terpejam. Saya mulakan dengan membaca Surah Al Fatihah, ayat 102 dari Surah A Baqarah, Surah Kursi dan empat Qul berulang-ulang kali.
Pada mulanya tidak ada apa-apa yang berlaku. Abang Azim sempat menguap beberapa kali.
Sehinggalah apabila saya mengulangi bacaan dari ayat-ayat tersebut beberapa kali, kami dikejutkan dengan bunyi tendangan pada pintu bilik tengah.
“Gedegang..”
Pintu bilik tengah mula terbuka luas. Saya dan Abang Azim saling berpandangan sesama sendiri dan kemudian memandang ke arah pintu tengah yang terbuka luas tersebut.
Abang Azim cuba untuk berdiri dan mungkin berniat untuk menutup pintu bilik tersebut tetap segera dihalang oleh saya.
BILIK KEPUNYAAN MUHAMMAD
“Abang Azim jangan pergi ke mana-mana. Duduk saja di sini.”
“Saya nak tutup pintu tu cikgu.”
“Tu billik siapa bang?”
“Itu bilik kosong. Tempat isteri saya menyediakan katil Muhammad dan kesemua barang bayi kepunyaan Ahmad yang diminta oleh bomoh tu. Dalam bilik tu juga isteri saya letakkan patung bayi yang dipanggil sebagai Muhammad.”
“Mampus..”
“Kenapa cikgu?”
“Tiada apa-apa bang. Nanti kita masuk ke bilik tu. Tapi bukan sekarang. Mungkin ada syaitan yang cuba untuk mempermainkan kita. Jadi kita jangan peduli apa yang berlaku dulu. Yang penting kita selesaikan masalah Ahmad ni dulu.”
“Baik cikgu.”
Saya kembali membacakan ayat-ayat tadi sambil di dalam hati berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan, petunjuk dan pertolongan.
Ketika saya sedang mengulangi bacaan Al Quran saya, tiba-tiba Ahmad ketawa. Kedua belah tangannya mencakar lantai Jubin ruang tamu.
Dengan tidak semena-mena Ahmad menyerang saya sambil kedua belah tangannya ingin mencekik leher saya.
Dan Alhamdulillah Abang Azim sempat menahan badan Ahmad dari terus berusaha untuk menyerang saya. Apabila melihat keadaan seperti itu, Ahmad menjadi semakin marah.
Ahmad menghayunkan lengannya ke arah Abang Azim dan hujung sikunya tepat mengenai hidung Abang Azim lalu berdarah.
Tetapi Abang Azim cuma tersenyum. Darah pekat mengalir mengenai baju. Sempat juga Abang Azim mengambil tisu yang terletak di atas meja sebelah kami dan menyumbatkannya ke dalam hidung. Agar tidak mengalir terus.
Saya sempat tersenyum memandang wajah Abang Azim. Juga gelagatnya. Inilah kasih sayang seorang ayah pada anak yang tersayang.
Apa lagi Ahmad adalah satu-satunya anak mereka. Darah daging mereka sendiri. Semua pengorbanan ini untuk kebaikan anaknya.
Tetapi tidak pula bagi Ahmad ketika itu. Kerana syaitan telah mula merasuk pada dirinya sehinggakan Ahmad tidak dapat untuk mengawal dirinya sendiri.
“Kenapa suka menganggu urusan aku. Aku tidak menganggu kalian.”
“Kami tidak menganggu kamu tetapi kamulah yang menganggu keluarga ini. Keluarlah kamu sebelum Allah menurunkan balanya ke atas kamu.”
“Bala Allah? Hahahaha..Apa itu? Keluarga ini sendiri yang mengundang bala Allah. Apa kamu mengira bahawa Allah akan menolong mereka?”
“Ya. Aku yakin Allah akan menolong mereka. Kerana kami meminta pertolongan kepada Allah dan bukannya meminta kepda syaitan.”
“Apa kamu yakin? Apa kamu sudah tahu apa yang berlaku? Apa kamu tahu apa yang ibunya lakukan dan apa yang mereka puja?”
“Aku tidak mahu tahu. Kamu keluarlah.”
“Untuk keluar itu tidak susah. Aku sudah sesatkan pemikiran ibu dari anak ini. Itu sudah besar ganjarannya di sisi Iblis, ketua kami. Kamu tahukan. Pada ketika dia sedih kerana kehilangan salah seorang dari anak kembarnya, aku menghasutnya untuk berjumpa dengan manusia suruhan kami iaitu bomoh dan melakukan apa yang diminta oleh bomoh tersebut.”
“Ibu anak ini telah menyediakan patung yang dibungkus seperti mayat dan tali pengikat kain kapan yang masih disimpan diikat pada patung tersebut. Di sekelilingnya ibunya meletakkan katil dan semua peralatan bayi. Senang saja untuk meyesatkan perasaan orang yang kesedihan yang ditinggalkan oleh orang tersayangkan.”
“Lalu aku menjelma masuk ke dalam mimpinya dengan menyerupai anaknya yang telah meninggal. Aku mengaku sebagai anaknya yang bernama Muhammad. Jadi gembiralah ibu anak ini apabila akau katakan padanya yang aku masih hidup dan akan terus hidup bersama mereka.”
“Cuma yang perlu dia lakukan adalah menyeru aku setiap hari. Bermain dengan menyanyi untuk aku. Sedangkan dia tidak sedar bahawa aku sentiasa memerhatikannya menyanyi untuk aku.”
“Akhirnya dia merasa gembira. Kerana kerinduannya telah terubat. Aku sengaja muncul dalam keadaan bayang manusia, suara budak kecil, bunyi ketukan dari dalam bilik tersebut. Sehinggakan ibunya merasakan yang aku benar-benar berada di sampaing mereka dan hidup di tengah-tengah mereka.”
“Sekarang urusan aku telah selesai. Aku tidak ada lagi kepentingan untuk berada di sini. Kerana aku telah berjaya menyesatkan ibu anak ini. Apa kamu tahu sekarang ini di dalam bilik ibunya, ibunya sedang bermain dengan kawan aku yang menyerupai Muhammad. Mereka tengah bergurau di dalam. Hahaha..Sebab itulah aku tidak risau untuk keluar dari badan anak ini.”
“Aku sudah berjaya menyesatkan dia. Tidak perlu ramai. Seorang saja sudah cukup. Asalkan ada orang untuk menemani kami di alam neraka nanti. Hahaha..Semoga kebodohan ini tetap akan diwariskan kepada keturunan mereka.”
“Dan ingatlah, aku akan datang lagi suatu hari nanti. Untuk berhadapan pula dengan suaminya. Kerana dialah urusan aku hampir gagal dan tidak berjaya. Kalau tidak kerana dia berusaha untuk membawa anaknya berubat, nescaya anaknya ini akan kuambil nyawanya.”
“Aku hampir-hampir saja dapat untuk mempengaruhi ibunya supaya mengorbankan Ahmad sebagai pertukaran nyawa dengan Muhammad. Dan kamu tahu tidak bahawa ibunya lebih menyayangi Muhammad yang telah mati dan sanggup untuk menukar nyawa mereka. Cuma aku tidak perlu untuk menceritakan semuanya di sini. Sehingga kamu berjumpa sendiri saat itu nanti. Hahaha..”
“Keluarlah syaitan. Semoga Allah mengazab kamu dengan siksaan yang sangat pedih. Dan semoga Allah memelihara keluarga ini dari sebarang kejahatan.”
“Hahaha..Kamu tunggulah saat itu nanti..Hahaha..”
Selepas itu Ahmad menjerit sekuat-kuatnya sehinggakan suaranya mungkin boleh didengari sejauh setengah km dan Ahmad lalu terbaring di atas lantai. Saya membacakan ayat Kurisy berulang-ulang kali.
DOA PERLINDUNGAN BUAT AHMAD
Saya juga membaca zikir yang selalu saya bacakan kepada anak-anak kecil yang selalu diganggu oleh jin.
Dari Ibnu Abbas r.a berkata:
“Biasanya Nabi SAW membaca (doa perlindungan) untuk Hasan dan Husain dan bersabda: “Sungguh ayah kalian berdua membaca (doa perlindungan) dengan kalimat ini kepada Ismail dan Ishaq: “Aku berlindung kepada kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari semua syaitan dan binatang yang berbisa dan dari setiap ‘ain yang menimpanya (mata yang mencelanya)”. (HR. Bukhari)
Saya mengulanginya berbelas kali sehingga saya pasti bahawa tiada lagi syaitan yang mungkin bersembunyi di dalam badannya.
Saya kemudiannya memegang dahi dan kedua belah mata Ahmad sambil membaca kembali Surah Kursiy berulang kali. Selepas itu saya meminta Abang Azim untuk mengejutkan Ahmad.
“Ahmad, bangun nak. Bangun.”
“Ayah. Kenapa ayah ganggu Ahmad tidur? Ahmad mengantuk.”
“Tak apalah bang. Alhamdulillah Ahmad dah sedar. Insyaallah syaitan di dalam badan Ahmad mungkn sudah keluar.”
Abang Azim memandang saya. Kemudian melemparkan pandangannya kepada Ahmad yang terbaring di lantai sambil berbantalkan paha Abang Azim. Abang Azim mengusap-ngusap kepala Ahmad berulang kali.
“Cikgu, apa lagi yang perlu kita lakukan sekarang?”
“Macam ni bang, sekarang ni kalau boleh kita mesti hapuskan patung di dalam bilik kosong tu. Kita tak ada pilihan lain. Kalau tak mungkin gangguan ni akan datang lagi.”
“Baiklah cikgu. Cikgu, apa perlu kita bagitau ibu si Ahmad ni dulu?”
“Terserah Abang Azim.”
“Baiklah cikgu. Saya hantar Ahmad masuk ke bilik kami dulu. Nanti saya akan bagitau isteri saya yang kita nak musnahkan patung tu.”
“Ok bang. Harap isteri abang tak marah.”
“Selepas itu Abang Azim lalu mendukung Ahmad dan membawanya ke dalam bilik mereka.”
Selepas beberapa ketika saya terdengar bunyi bayi menangis. Mungkin dari arah bilik tengah. Bilik yang menempatkan patung Muhammad yang dipuja oleh ibunya selama ini.
Bunyi tangisan itu sangat-sangat menyeramkan sehinggakan bulu tengkuk saya hampir tercabut rasanya.
Tidak lama kemudian suasana ruang tamu bertukar menjadi suram. Suara tangisan bayi mula menguasai segenap ruang. Saya menjadi gelisah.
Masakan tidak. Cuma saya seorang di ruang tamu. Entah-entah Abang Azim sedang tidur nyenyak di bilik mereka.
Paling tidakpun sedang menonton cerita melayu bertajuk ‘Drama Halalkan Hati Yang Kucuri’ di Saluran TV3 dengan slogan mereka ‘Keriangan Sentiasa Bersamamu di TV3’.
Untuk menghilangkan kerisauan hati, saya membaca lafaz peringatan yng pernah diucapkan oleh Nabi Sulaiman kepada golongan jin.
“Unaa syidukum bil ahdil ladzii ahozahuu alaikum Sulaimaanu, an takhrujuu watarhaluu mim baitina, unaa syidukumullaha al la tu’zuu ahada.”
“Wahai Ifrit (golongan jin) aku peringatkan kepada kamu sumpah yang dibuat oleh Nabi Sulaiman. Keluarlah dan pergilah dari rumah kami dan aku peringatkan juga kepada kamu jangan sesekali kamu menyakiti penghuni rumah ini.”
Lalu saya sambung dengan membaca zikir khas untuk penjagaan rumah.
“Dengan nama Allah, kami berada di senja ini dengan nama Allah Yang Tiada sesuatupun yang dapat menghalangiNya dan dengan keagungan Allah yang tidak dapat dikalahkan dan direndahkan. Dengan kekuasaan Allah Yang Maha Mencegah, kami berlindung dan dengan semua nama-namaNya yang baik kami berlindung dari kejahatan-kejahatan syaitan-syaitan, sama ada dari golongan manusia dan jin. Kami berlindung kepada Allah dari kejahatan segala sesuatu yang menampakkan diri dan menyembunyikan diri, dari kejahatan segala sesuatu yang keluar di malam hari dan bersembunyi di siang hari, dari segala kejahatan sesuatu yang menampakkan diri di siang hari dan bersembunyi di malam hari dan dari kejahatan segala sesuatu yang diciptakanNya, yang kotor dan yang bersih. Kami berlindung dari kejahatan Iblis dan pengikut-pengikutnya dan dari kejahatan segala makhluk yang berada dalam kekuasaanMu. Sesungguhnya Rabbku berada di atas jalan yang lurus. Aku berlindung kepada Allah dengan perlindungan yang dimohonkan oleh Ibrahim, Musa dan Isa, dari kejahatan segala sesuatu yang diciptakanNya, yang kotor dan yang bersih dan dari kejahatan Iblis dan pengikut-pengikutnya dan dari kejahatan segala sesuatu yang membangkang.”
Kemudian saya bacakan Surah As Shafaat ayat 1 hingga 10;
“Demi (rombongan) yang bershaf-shaf dengan sebenar-benarnya dan demi (rombongan) yang melarang dengan sebenar-benarnya (dari perbuatan-perbuatan maksiat) dan demi (rombongan) yang membacakan pelajaran. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Esa. Tuhan langit dan bumi dan apa-apa yang berada di antara keduanya dan Tuhan tempat-tempat terbit matahari. Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan iaitu bintang-bintang, dan telah memeliharanya (sebenar-benarnya) dari setiap yang sangat derhaka, syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (perbicaraan) para malaikat dan mereka dilempari dari segala penjuru. Untuk mengusir mereka dan bagi mereka siksaan yang kekal. Akan tetapi barangsiapa (di antara mereka) yang mencuri-curi (pembicaraan) maka ia dikejar oleh suluh api yang cemerlang.”
Selepas itu suara tangisan bayi mula hilang secara perlahan-lahan dan saya mula merasa tenang. Seolah-olah diberi suatu kekuatan yang baru oleh Allah.
Saya beristighfar berulang kali dan mengucapkan syukur kepada Allah.
Ketika saya sedang beristighfar saya mendengar seperti suara isteri Abang Azim menjerit dari arah bilik mereka.
Dan saya yakin mereka bukan tengah menonton cerita melayu bertajuk ‘Drama Halalkan Hati Yang Kucuri’ di Saluran TV3 dengan slogan mereka ‘Keriangan Sentiasa Bersamamu di TV3’ tadi.
“Keluar..Keluar sekarang. Berambus dari rumah ni. Bawa sekali setan bertanduk tu pergi dari sini. Abang sama saja dengan budak tu. Iblis…Iblis…”
“Bawa Istighfar. Apa yang awak merepak ni. Saya nak selamatkan Ahmad. Bukan nak menyiksa dia.”
Suara Abang Azim semakin meninggi. Begitu juga suara isterinya. Hampir lima minit juga mereka berbalas pantun sambil saya menjadi menonton, saya juga hakim dan saya juga dilantik menjadi hakim penjaga masa yang bijaksana.
“Kalau bang nak musnahkan juga patung tu abang tanggunglah akibatnya nanti.”
“Susah jugak nak bercakap dengan orang bodoh ni. Kita nak selamatkan Ahmad. Faham tak?”
“Berambus..Pergi berambus semua…”
“Dum…..”
“Krik..Krik..Krik..”
Isteri Abang Azim menghempas pintu bilik. Kemudian saya terdengar suara budah lelaki menangis. Saya yakin itu mungkin suara Ahmad. Saya kasihan melihat Ahmad kerana terpaksa berhadapan dengan keadaan seperti ini.
Umur semuda Ahmad tidak sepatutnya menanggung beban seperti ini dan juga berhadapan dengan pertengkaran kedua ibu bapannya.
Saya mula menjadi serba salah. Pada awalnya saya rasakan perkara ini akan dapat diselesaikan secara baik. Tetapi terjadi sebaliknya. Menjadi semakin teruk dan saya tak terfikirpun suasananya akan enjadi seperti ini.
“Cikgu, kita kena bertindak sekarang. Kalau tidak nanti isteri saya akan masuk ke bilik tu dang mengambil patung tersebut.”
“Ok bang. Jom.”
Hati saya mula berbelah bagi sebenarnya. Saya tidak mahu kehadiran saya menjadi bebanan dan dendam kepada orang lain walaupun kita berniat baik sekalipun.
Saya mengikuti Abang Azim dari belakang. Kami memberanikan diri untuk masuk ke bilik tersebut. Bilik tersebut gelap dan suram.
Tetapi bau seperti minyak dan bedak bayi menyebar ke seluruh ruang bilik. Kami menghampiri katil yang menempatkan patung berkenaan.
SEBUAH PATUNG BAYI
Sekali imbas patung tersebut benar-benar kelihatan seperti seorang bayi yang benar-benar hidup, bernafas dan bergerak. Lalu saya meminta Abang Azim untuk sama beristighfar dan membaca Surah Kursi.
Abang Azim yang pada mulanya seperti berkhayal juga terpaku apabila memandang patung tersebut. Saya mengambil patung tersebut sambil membaca ayat-ayat ruqyah lalu menghumbuskan ke arah patung tersebut berulang kali.
“Abang Azim..”
“Ya cikgu..?”
“Mana tali mayat yang diikat kat patung ni? Bukan ke Abang Azim bagitau tadi yang kat patung ni ada tali kain kafan Muhammad dulu?”
“Memang ada cikgu. Saya tak bohong. Tapi saya jugak hairan ke mana perginya tali kain kafan tu.”
Saya cuba membuka kain putih tersebut sambil melihat di sekitar kawasan kepala. Ternyata ada bentuk wajah manusia yang dilorek menggunakan pisau.
Wajah patung tersebut memang menakutkan saya walaupun pada hakikatnya wajah tersebut biasa-biasa sahaja.
“Tak apalah bang. Nanti abang tolong carikan ok. Kita musnahkan dulu patung ni. Semoga pengaruh syaitan akan hilang selamanya.”
Selepas itu kami keluar dari bilik kosong tersebut lalu menuju ke luar rumah. Saya meminta Abang Azim menyediakan kayu dan mancis untuk menghidupkan api.
Lebih kurang 20 minit menunggu api tersebut marak, akhirnya saya campakkan patung tersebut ke dalam api tersebut.
Lama juga kami menunggu patung dari kayu tersebut terbakar habis dan menjadi debu. Saya lihat wajah kepuasan pada Abang Azim. Tapi tidak bagi saya. Saya memandang ke arah hutan di sekeliling saya.
Sememangnya sangat-sangat menakutkan dan menyeramkan. Saya merasa sangat-sangat tidak selesa.
Saya mengalih pandangan saya ke arah patung tadi. Hampir hancur keseluruhan. Cuma tinggal sisa-sisa sahaja.
Tiba-tiba kami dikejutkan dengan kehadiran ular tedung yang menuju ke arah api tersebut. Saya melompat ke arah Abang Azim dan Abang Azim pula melompat ke arah saya.
Akhirnya kami melompat-lompat dua tiga kali sedangkan ular tersebut langsung tidak mempedulikan kehadiran kami.
Selepas beberapa ketika ular itu memandang ke arah kami sebelum kembali memandang sisa-sisa patung kayu yang dibakar tersebut lalu menyusur kembali ke dalam akar-akar dan dedaunan kering yang gugur ke bumi lalu menghilang di sebalik kegelapan malam.
Saya dan Abang Azim sudah selesai melompat. Penat juga melompat dalam keadaan spontan dan tak bersedia seperti ini dan akhirnya kami tercungap-cungap kepenatan.
Selepas ular tersebut hilang dari pandangan kami, suasana kembali seperti biasa. Saya juga merasa hairan kenapa perasaan takut, risau dan merasa diperhatikan tadi tiba-tiba hilang sekelip mata.
Mungkin ini petunjuk dari Allah bahawa gangguan yang membelenggu keluarga Abang Azim telah hilang.
“Abang Azim. Beginilah. Insyaallah rasanya gangguan yang menganggu Ahmad dan rumah Abang Azim selama ini akan selesai dengan izin Allah.”
“Insyaallah cikgu.”
“Abang Azim. Saya balik dulu. Dah lewat dah ni. Nanti kalau perlu apa-apa Abang Azim telefon saja saya.”
“Baik cikgu.”
“Kalau macam tu saya balik dulu. Pandai-pandailah Abang Azim ‘settlekan’. Semoga Allah mudahkan urusan abang sekeluarga.”
“Insyaallah. Amin. Terima kasih banyak-banyak cikgu. Allah sahaja yang dapat membalas jasa cikgu.”
“Amin. Saya balik dulu bang. Assalamualaikum.”
“Waalaikum cikgu..”
PULANG KE RUMAH
Saya berjalan perlahan ke arah kereta. Selepas menghidupkan enjin kereta, sekali lagi saya memberi salam kepada Abang Azim.
Abang Azim membalas salam saya dengan senyuman. Sambil melambai tangannya ke arah saya.
Dalam perjalanan balik ke rumah, saya memikirkan kembali apa yang terjadi di sepanjang rumah Abang Azim.
Ntah kenapa saya rasakan masih ada sesuatu yang belum selesai. Tetapi saya tidak tahu apa yang membelenggu jiwa saya ketika itu.
Cuma perasaan ingin tahu itu menjadikan jiwa saya cuba untuk mencari puncanya tetapi saya tidak tahu. Saya tiada petunjuk untuk menenangkan hati saya.
Saya cuma membayangkan wajah Ahmad. Anak kecil yang tak berdosa. Menjadi mangsa kerakusan ibunya sendiri.
Saya doakan semoga Allah memelihara Abang Azim sekeluarga. Saya serahkan mereka kepada Allah. Terserah Allah mengaturnya nanti bagaimana.
Selepas dari kejadian tersebut saya jarang untuk menerima jemputan orang untuk merawat dan berikhtiar untuk menghilangkan gangguan di rumah.
Saya akan meminta kawan-kawan saya untuk memenuhi permintaan orang yang berhajat tadi.
Untuk kisah Abang Azim saya cukupkan sampai di sini sahaja. Selebihnya biarlah untuk simpanan saya sendiri..
………………………………………………….
Pada suatu malam..
“Dum..Dum..Dum..”
“Siapa tu?”
“Dum..Dum..Dum..”
Ahmad..Ahmad ke tu..?
“Hehehehehe..”
“Ahmad..Ahmad..Ahmad..”
“Hehehe..
“Muhammad..”
“Hehehe..”
“Muhammad ke tu..?”
“Iya mak..”
“Mak tahu Muhammad akan datang nak..”
“Mak..”
“Iya nak..”
“Muhammad haus..”
“Nanti mak minta kat Ahmad ok?”
“Apa darah segarnya masih ada lagi mak?”
“Masih nak..”
“Mak sayang Muhammad ke Ahmad..?”
“Mak sayang Muhammad. Muhammad anak mak..”
“Jangan bagitau Ahmad.”
“Ya nak. Kita cuma mahukan darah dia.”
“Hehehehe..”
“Tapi mak hairan nak. Macamana Muhammad boleh datang ke sini lagi? Bukankah Muhammad dah lari dulu?”
“Dari tali kain kafan Muhammad. Tali kain kafan Muhammad masih mak simpankan..?”
“Iya nak. Ayah kamu tak tahu. Hahahaha..”
“Hehehehe..”
Kung Pow
p/s:
Terima kasih sebesar-besarnya kepada Cikgu Azzah @ Azzah Ora Ismail atas lakaran kartun untuk cover cerita saya pada kali ini. Selasa depan saya belanja makan kat kantin sekolah ok..