Tapi Cikgu Ice Box Saya ada Babi…

15716

Cabaran guru guru yang tinggal di pedalaman sememangnya menuntut kesabaran yang tinggi.

Kadang kala bila berlaku masalah kerosakan generator maka peti sejuk tidak berfungsi. Pasti barang barang basah akan mudah rosak.

Jalan terbaik bagi mengatasi masalah ini ialah menumpang peti sejuk penduduk kampung. Satu lagi masalah yang terpaksa dihadapi apabila penduduk kampung pula bukan beragama Islam.

Maka dalam dilema guru muslim terpaksa berkongsi peti sejuk dengan penduduk yang turut menyimpan makanan tidak halal.

Pengalaman yang dihadapi oleh Cikgu Muhammad Syauqi yang berkhidmat sebagai guru di Belaga Sarawak. Cikgu Muhammad Syauqi juga merupakan seorang backpacker traveller mempunyai pengalaman luas dalam berhadapan dengan kejutan budaya mempunyai pendirian positif apabila berhadapan dengan dilema ini.

Beliau turut terharu dengan semangat setiakawan penduduk Kenyah di Belaga yang begitu toleransi di Bumi Kenyalang.

Mari kita baca hantaran beliau yang saya petik dalam fb

“Boleh saya tumpang letak barang dalam “ice box” kamu?”
“Tapi cikgu…ada babi dalam ni.”
.
Aku sudah tiada pilihan lain. Generator sekolahku telah kehabisan minyak. Bekalan minyak baru pula tidak tahu bila akan tiba.Generator tidak dapat beroperasi malam itu dan kami bergelap. Aku bersama isteri dan anak kecil pula baru pulang ke sekolah setelah membeli stok barang-barang basah untuk sebulan di Bintulu.
.
Mahu atau tidak, malam itu aku membawa beberapa barang mentah yang dibeli ke rumah orang kampung berketurunan Kenyah yang terletak tidak jauh dari sekolah. Bimbang barang-barang makanan tersebut busuk dan akhirnya hanya diberi makan anjing.
.
“Tidak apa tu, saya sudah bungkus dalam plastik. Tidak ada masalah kalau ada babi dalam ice box kamu,”ujarku kepada Rait. Dia kelihatan serba-salah ketika aku menyatakan hasratku. Orang kampung di situ beragama Kristian.¬†Hanya kami guru-guru dari Semenanjung yang beragama Islam di kawasan sekolah.

“Macam ni la cikgu, saya alihkan babi itu di bawah sekali. Saya atur barang-barang lain biar tindih babi itu di bawah sekali. Barang-barang cikgu saya letak atas sekali,”Rait membalas.
.
Sungguh, sungguh aku terharu dengan apa yang dilakukan Rait. Walaupun dia tidak sebangsa, seagama denganku, namun dia menghormatiku sebagai Muslim.Sanggup dia bersusah-payah menyusun atur kembali barang-barang di dalam “ice box” agar daging babi kepunyaannya tidak bercampur dengan barang makananku.

Dan kisah Rait ini hanyalah satu daripada berjuta lagi kisah-kisah di Sarawak bagaimana masyarakat yang berbilang bangsa dan agama hidup harmoni menghormati satu sama lain.

Comments

comments