Baucer McD Hari Guru : Cadangan penambahbaikan dari Cikgu Emmet

Terima kasih kepada McD kerana selama 5 hari (16hb – 20hb Mei) memberi penghargaan kepada guru-guru dengan memberikan baucer burger untuk ditebus.

Meskipun ada beberapa pihak mempertikaikan sumbangan itu antaranya seolah-olah merendahkan guru dengan menawarkan makanan tidak sihat, ada yang mengatakan pemberian ini sebagai strategi pemasaran (jika ibu atau ayah dapat baucer pasti beli lebih untuk anak anak) dan pertikaian mengenai ketirisan intergriti semasa baucer itu diagihkan oleh pihak sekolah kepada kakitangannya.

Malah sekalung pujian buat beberapa kumpulan guru guru di bandar besar yang mengumpul baucer untuk ditebus dan burger itu diberikan kepada anak-anak miskin dan gelandangan. Satu contoh berbagi rezeki yang cukup hebat. Kudos to cikgu.
Walau apapun yang berlaku tidak dinafikan bahawa MCD tetap menghargai jasa guru dengan memberikan sesuatu untuk dikongsi bersama pendidik Malaysia.
Terima kasih McD.

Namun saya ingin sarankan pada masa akan datang jika pihak McD mahu membuat penghargaan serupa bolehlah membuat sedikit penambahbaikan.

1. Tempoh penebusan yang panjang.

Tempoh penebusan selama 5 hari bermula 16/5 – 20/5 terlalu singkat sebenarnya. Bolehlah ditambah hingga 30 hari. Ini untuk memberi peluang kepada guru guru pedalaman dapat menebus baucer tersebut. Lebih-lebih lagi bagi guru yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak dimana tidak mempunyai cawangan McD yang banyak. Bayangkan sahabat saya, Cikgu Noor yang mengajar di SMK Kubong Limbang terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dari Limbang masuk ke Negara Brunei Darussalam, melepasi beberapa pusat pemeriksaan imigresen Brunei dan Malaysia barulah sampai ke Miri dan menebusnya di McD Permyjaya. Miri.
Rakan saya Cikgu Karim yang mengajar di SK Lepong Gaat, Cikgu Hisham di SK Ng Entuloh Balleh terpaksa keluar seawal jam 4 pagi menggunakan perahu panjang dan menanti di atas jelatong (pengkalan dari balak hanyut) untuk menaiki bot ekpress dari Putai dan membayar RM65 tiket serta melalui perjalanan Sungai Rajang dan Balleh selama 6 jam untuk sampai ke Sibu dan akhirnya bila sampai di McD Sibu di hadapan Wisma Sanyan (satu-satunya McD di Sibu) merasa hampa bila diberitahu bahawa stok bun sudah kehabisan. Cikgu Syauqi di Belaga terpaksa keluar berjam-jam guna jalan balak dan batu serta tar untuk ke Bintulu kerana McD terdekat di Belaga ialah Bintulu. Saya pula kena memandu 3 jam ke Kuching untuk menebus baucer di McD Kuching International Airport.
Kasihan kan?
Jadi mohon panjangkan sikit tempohnya.
Apatahlah hanya tinggal seminggu untuk cuti semester bermula.. Kan lebih molek jika tempoh penebusan diberikan semasa waktu cuti. Guru pedalaman boleh keluar ke bandar dan balik ke kampung sambil merasakan penghargaan McD yang lebih ikhlas😊.

2. Ubah hadiah burger kepada benda lain.

Bab makanan ni kadangkala boleh jadi gaduh sebenarnya. Apatah lagi kalau ianya datang daripada syarikat konglomerat yang hebat seperti McD yang merupakan rangkaian makanan segera antarabangsa. Jadi ada beberapa tempat berlaku ketirisan intergriti semasa memberikan atau mengedarkan baucer. Ada dapat lebih.. Ada tak langsung… Akhirnya kerana sekeping baucer, guru guru boleh kelahi. Buat malu je kan? (sebab itu saya delete post mcd saya sebelum ni bila ada rakan guru mesej saya tegur agar jangan panjangkan isu itu. Terima kasih atas teguran)
Jadi saya cadangkan McD ubah je hadiah baucer makanan kepada benda lain.. Err bagi sticker kereta ke…bagi sijil penghargaan ke…bagi keychain ke… Rasanya tak da orang nak ambil sticker tu banyak – banyak kan… Jadi lebih telus edarannya berbanding benda makan ni 😊.

3. Kolaborasi dengan syarikat lain.

Contohnya KPM kolaborasi bersama McD di semenanjung dan kolaborasi bersama KFC di Sarawak dan Sabah . Sebab KFC lebih banyak cawangan di Sarawak. Di Kapit ada KFC, di Limbang ada KFC di Sri Aman ada KFC…di Ranau ada KFC..eh banyak lah tempat ada KFC di pulau borneo ni. Jadi senanglah kami guru-guru Sabah dan Sarawak menikmati penghargaan ini.

4. Buka juga pada pegawai di PPD, JPN dan KPM kerana mereka juga asalnya ada yang dari bidang perguruan. Malah mereka juga pendidik dan pentadbir kepada guru guru. Jangan lupakan jasa pegawai pegawai ini.

Jadi cukuplah 4 cadangan penambahbaikan yang saya berikan untuk diberi perhatian tahun tahun mendatang jika program yang sama ingin diteruskan.
Maafkan saya jika pandangan saya ini mungkin menyinggung pembaca… Tapi inilah realitinya yang berlaku.
Kasihanilah guru guru pedalaman ini.
Walaupun kami tak kisah sangat… Dapat burger atau tidak…. Kami di pedalaman ..tetap berbakti demi anak anak bangsa.

Comments

comments