Bilik Pendidikan Islam dibina oleh penduduk Kristian bukti toleransi kukuh di Sabah

Bulan mubarak datang lagi. Ramadan selalu membawa kenangan yang menyentuh nurani.

Ibu saya meninggal saat azan maghrib bergema pada Ramadan terakhir (1998); dikebumi pagi Syawal. Bapa pula meninggal pertengahan Ramadhan (2005), dua minggu sebelum viva PhD. Masa itu, saya berada di UK. Obviously I missed the funeral.

Ramadan kali ini, saya mau padam memori syahdu itu dengan cerita kemanusiaan. Tiga hari lepas, saya ikut kru SUNTIK untuk program outreach sastera dan pembudayaan ilmu di SK Ulu Kukut, Kota Belud.

Sekolah ini letaknya di utara Sabah, cuma lebihkurang 100 km dari Kota Kinabalu. Tapi jalannya keluk kelintar merentas bukit bukau. Jadi perjalanan ke tempat ini mengambil masa hampir dua jam, dari pusat urban ibukota.

SK Ulu Kukut ini, memang sekolah pedalaman tipikal. Kecil saja, bangunan kayu dan kemudahan pun terhad. Keseluruhan murid ada 101; majoriti etnik Momogun Rungus, Tobilung dan Tindal yang beragama Kristian. Cuma 26 beragama Islam, dari komuniti Iranun, Bajau dan Dusun.

Meski serba serbi tidak cukup, juga amat kerdil dari segi saiz dan kuantiti — sekolah ini tetap menawarkan nilai pendidikan maha signifikan. Di sini berlaku titik pertemuan toleransi agama dan budaya, dengan tahap intim tertinggi.

Di luar pagar sekolah, betul-betul depan gerbang masuk — ada gereja Protestan. Ini perkara biasa, kerana 75% muridnya beragama Kristian, dan kampung ini sendiri pun merupakan kawasan dominan masyarakat bukan Islam.

Tapi perkara luar biasa, sekolah ini ada kelas khas pendidikan agama Islam. Dana datang dari sumbangan seorang ahli PIBG; dibina secara gotong-royong oleh ibubapa murid sekolah, yang kebanyakannya non muslim. Tidak ada isu, siapa minoriti, siapa majoriti. Setiap keperluan dihormati.

By Sabah’s standard, this is actually nothing special. It is naturally expected, rather than being an exception. Keharmonian etnik berbilang agama dan budaya telah lama tumbuh subur di bumi Borneo. Sejak dulu lagi.

Pendidikan yang mampu menjadi sendi negara, seharusnya dipacu oleh nilai. Pendidikan berteras kegembiraan dengan menanam rasa cinta dan memupuk sikap saling hormat. Ya, mengikis prejudis dan menjauhi syak-wasangka.

Di kawasan pedalaman Borneo khususnya, semua ini terolah secara organik. Sudah jadi amalan rutin, tanpa perlu penerapan formal menerusi kurikulum sivik. Ini satu bukti bahawa mendidik dan membudayakan nilai, sebetulnya tidak perlukan dana berskala besar.

Sekolah-sekolah urban dan metropolis mewah dengan infrastruktur canggih. Tapi krisis nilai kerap berlaku di sini. Hingga negara terpaksa melabur jutaan ringgit sebagai intervensi untuk menggubal polisi, serta memperbaiki sistem dan mekanisme penyampaian.

Ironinya pula, sekolah-sekolah luar bandar ini, sangat makmur dengan nilai-nilai yang terpupuk semulajadi. Sayangnya, mereka daif dari segi dokongan infra untuk membangunkan pendidikan aspek kognitif dan akademik.

Ini adalah bentuk pembangunan yang amat menuntut pelaburan materi. Sebab membina bilik darjah yang agam dan selamat untuk proses pembelajaran kondusif, tidak cukup dengan hanya senyum gembira dan kasih sayang melimpah ruah. Ia tetap perlukan wang ringgit.

Justeru, aspirasi pendidikan Malaysia wajar diimbang semula untuk menangani secara serius JURANG di antara luar bandar dan metropolis, juga antara komuniti marginal dan kelas pertengahan (serta burjuis). Kita perlu menilik dengan teliti dan mendalam, ke mana dana pendidikan harus dihalakan.

Saya tahu ini salah satu iltizam teratas dan prioriti utama YB Menteri Pendidikan. Namun, bagaimana hasrat murni ini mampu diterjemah efektif dalam perlaksanaan? Wahai warga pendidik dan penjawat awam semua (termasuk diriku juga); let’s do it together!

Comments

comments