4 Mei adalah tarikh dimana saya dijemput berceramah di SK Lepong Gaat Balleh. Bila mendengar nama sekolah itu saya membayangkan ianya seperti SK Lepong Balleh yang boleh di akses menggunakan jalanraya dari Kapit.
Rupanya saya akan menempuh perjalanan ekpress bot dari Sibu ke Nanga Gaat sebelum menaiki perahu panjang masuk ke SK Lepong Gaat.
Terasa gementar juga kerana saya terbayangkan arus deras sungai hulu di Batang Balleh ini mampu mengkaramkan perahu perahu. Malah mendengar nama Pelagus Rapid sahaja sudah mengentarkan hati. Nasib bukan menyusur Batang Rajang.
Pada pagi 3hb Mei saya membeli tiket di Terminal Ekpress Sibu. Tiket Sibu – Kapit – Putai beharga rm60. Tepat jam 8.00 pagi perjalanan bermula. Menyusur Rajang yang tenang.. Saya lebih gemar melayan pemandangan indah di tebingan sungai. Bermula dengan kilang kayu balak, kuari batu yang mendominasi tebing lama kelamaan berganti kebun sawit.
Semakin hulu ekpress menongkah arus semakin bertukar landskap di tebingan. Pokok Getah juga kelihatan dan seterusnya pokok-pokok dusun seperti durian dan dabai.
Di pesisir kelihatan rumah-rumah panjang dan sekolah. Nelayan sungai memasang pukat serta menebar jala, memberikan gambaran betapa kesederhanaan hidup itu juga satu nikmat.
Meskipun dikaca tv dalam express bot menayangkan cerita Glass saya lebih rela melayan pandangan di tingkap. Bagaikan episod demi episod alam dihidangkan. Sehingga semakin ke hulu landskap bertukar lagi. Hutan belantara mula melatari tebingan.
Meskipun begitu bukti ketamadunan tetap kelihatan apabila bot melintasi pekan pesisir sungai seperti Kanowit dan Song.
3 jam saya sampai di Kapit. Saya mengambil keputusan untuk terus menunggu dalam bot walaupun perut terasa lapar.
Tak lama kemudian saya dihubungi seorang guru Sk Lepong Gaat yang baru habis berkursus di Kapit. Setelah diberitahu kedudukan saya yang masih menanti dalam bot, Cikgu Stanley mencari saya dan berjumpa di dalam bot.
Cikgu Stanley menemani saya untuk baki perjalanan ke Ng Gaat. 11.45pagi ekpress kami bertolak dan membelah arus rajang. Tak lama selepas itu, bot membelok ke Batang Balleh dan menongkah arus Balleh terus ke hulu. Kelihatan arus makin berombak dan sesekali enjin bot mengaum.
Batu-batu bersaiz besar kelihatan menghalang sesetengah selekoh sungai yang airnya semakin deras. Bangkai kapal tunda yang karam juga turut kelihatan. Ternyata bukan calang orang yang memandu bot atau mengendalikan perahu panjang di sungai ini.
Saya difahamkan bot ekpress ini turut belayar pada waktu dini hari. Ekspress dari Putai sahaja bergerak ke Sibu seawal jam 3.00pagi. Malah ada guru-guru yang keluar bila hari cuti dari hulu Pelagus seawal jam 1 pagi menggunakan perahu.
2 jam belayar kami pun sampai di Ng Gaat usai melintasi SMK Balleh. Saya turun dari ekpress dan menanti di jelatong. Jelatong ini adalah rakit tempat menanti perahu untuk masuk ke kampung. Ia diperbuat dari balak-balak yang terapung.
Sejurus selepas turun dari ekpress sudah ada pakcik yang menanti saya dengan perahu. Kami berpindah transportasi dari ekpress ke perahu panjang. Dengan beg bagasi dan beg sandang berisi laptop, saya hampir hilang imbangan. Setelah selesa duduk kmi bergerak.
Cuaca panas menyengat kulit namun bila perahu laju menyusur sungai Gaat ke hulu suasana jadi agak dingin bila perahu melalui pohon pohon hutan yang teduh. Air keruh kini bertukar kehijauan. Beberapa ekor memerang bermain di tebingan sambil mengonggong ikan. Bangau pula taat membatu diatas tunggul kayu menanti anak-anak ikan melintas.
Suasana ini mahal harganya dan saya bersyukur pada Allah kerana diberi kesempatan mengalaminya.
Perahu makin melawan arus yang deras. Hingga seketika singgah untuk menurunkan orang kampung yang turut menumpang bot kami. Sayu hati melihat pasangan nenek tua yang turun dari perahu dan naik ke pengkalan yang agak tinggi. Tapi itulah kehidupan.
20 minit kemudian saya sampai di SK Lepong Gaat. Saya di sambut oleh cikgu Qarim orang Kelantan yang amat fasih berjaku Iban. 5 tahun di Lepong Gaat, Cikgu Qarim kelihatan mampu mengadaptasi kehidupannya. Beliau disayangi oleh guru besar Cikgu Beraoh.
Pada malamnya saya disambut mesra oleh semua staff guru dan akp. Cikgu Beraoh turut bersama.
“Cigu… Aku rindok amai ka nuan. Laban nuan nemu adat enggau jako kami Iban” kata Cikgu Beraoh. Saya dipeluk oleh Cikgu Beraoh.. Yang menemani saya makan malam.
Suasana malam di pedalaman ni tidak pernah sunyi. Di pengkalan mereka duduk bersembang dan bercerita sambil minum dan memanggang ikan. Keramahan terserlah. Kadang kala tercuit hati melihat ada yang menyanyi lagu karaoke bahasa Inggeris dengan gaya tersendiri. Itulah nikmatnya berada di hulu sungai.
Saya berkesempatan bertemu dengan beberapa penceramah subjek dafi sekolah lain. Antaranya Cikgu Hisham dari negeri sembilan yang pernah saya tulis kisahnya dalam blog saya. Dia juga fasih berjaku Iban. Mengajar di SK Ng Entuloh yang lebih ke hulu.
Esoknya saya memberikan ceramah motivasi keibubapaan pada ibubapa dan anak-anak sekolah di zon ulu Balleh atau ZUBAL. Terdapat 6 sekolah semuanya.
Menakjubkan ibubapa ramai yang hadir berperahu termasuk dari SK Temenggung Koh. Komrad-komrad guru di zon ulu Balleh ini memang komited dan berjiwa juang untuk mengubah nasib anak-anak pedalaman. Kesulitan dan kekurangan disini mudah diadaptasi dengan semangat tinggi. Saya amat kagum dengan mereka.
Yang dari semenanjung…jelas tampak ikhlasnya mereka berbakti disini. Begitu juga guru-guru tempatan dan luar Kapit, ada yang dari Betong, Sibu, Kuching dan Sarikei namun masih kuat jiwanya berbakti disini. Tahniah KOMRAD ILMU. ANDA ADIWIRA YANG JARANG DIPANDANG.
Majlis dirasmikan oleh YB Datuk Wilson Ugak ahli parlimen Hulu Rajang. Beliau memberi khabar gembira bahawa jalan akan dibina dikawasan ini bagi memudahkan urusan logistik penduduk.
Saya turut dijemput kepentas untuk menyaksikan upacara miring dan berpeluang mengetas ranyai untuk sambutan pra Gawai. Seronok juga belajar budaya dan adat Iban ini.
Saya berpeluang makan ikan Semah bersama YB dan semasa pulang saya dipelawa oleh YB untuk menumpang speed botnya dari Ng Gaat ke Kapit. MasyaAllah punyalah laju… Sampai nak bercakap pun tak boleh… Siap kona (nyaris tak baring) je kat selekoh sungai.
Perjalanan dari Ng Gaat ke Kapit menaiki speedboat 200hp hanya 1 jam. Saya akhirnya sempat menaiki ekpress jam 2.15 dari Kapit untuk pulang ke Sibu.
Demikianlah indahnya perjalanan saya ke MENUA ULU BALLEH
Terima kasih Cikgu Qarim, Cikgu Beraoh dan guru guru Zon Ulu Balleh.
Terima kasih SK Lepong Gaat dan penduduk sekitar. Terima kasih YB Datuk Wilson Ugak.
Lepong Gaat sangat memikat. Suasananya indah melambatkan saat.
Membuat hati teringat ingat. Pada keramahan penduduk setempat.
Hulu Balleh.. Tetap di rindui
Catatan perjalanan Cikgu Emmet