5 Perkara Patut Dilakukan Ketika Balik Beraya di Kampung

1. Usahakan untuk balik ke kampung lebih awal, supaya dapat tolong ibu dan bapa di kampung menyediakan juadah untuk dimakan di pagi raya.

Di samping dapat menggembirakan hati ibu bapa , kita dapat juga merasa indahnya ukhuwwah dengan keluarga apabila dapat bergotong royong bersama-sama.

Bila pulang ke tempat masing-masing kenangan inilah yang akan segar di ingatan.

Jika boleh, elakkan balik di malam raya , disaat juadah semua sudah hampir siap disedia.

Sekali dua buat begitu, orang diam saja. Kalau dah selalu, lama-lama mula adik beradik dan ipar duai terasa. Renggang pula hubungan nanti jadinya.

Kalau dah tak dapat cuti tu, nak buat macam mana.

2. Perjalanan jauh memang memenatkan. Namun , jika ingin berehat, berpada- padalah. Elakkan daripada tidur berpanjangan.

Kita balik kerana mahu bersama keluarga.

Jadi, carilah ruang sebanyaknya untuk melakukan aktiviti bersama seperti makan bersama, solat bersama dan bersembang- sembang. Tidaklah asyik terperap di bilik saja.

3. Berpakatlah sesama adik beradik untuk berkongsi mengeluarkan belanja membeli keperluan seharian ketika berkumpul beramai-ramai sebegini.

Elakkan daripada membebankan ibu bapa atau adik – beradik yang tertentu sahaja, atas alasan dia lebih berada.

Jika tidak dapat menyumbang banyak, sumbanglah sedikit.

Perkara ini akan dapat mengelakkan salah faham dan rasa kecil hati dalam keluarga.

Lebih elok jika dapat diusahakan kutipan dana bulanan dari setiap ahli keluarga.

Waktu sebeginilah , dana itu sangat diperlukan.

Setiap kali berkumpul, wang dana boleh diagih kepada adik – beradik yang balik kampung sebagai sumbangan duit minyak dan tol.

Dana juga boleh digunakan untuk belanja keperluan seharian serta sumbangan bayaran bil elekrik dan bil air kepada ibu bapa atau adik beradik sekiranya berkumpul di rumah mereka.

4. Ajaklah isteri, suami atau akan-anak kita bersama-sama membantu dalam setiap urusan keluarga ketika berkumpul seperti membasuh pinggan mangkuk, membersihkan rumah atau halaman, memyediakan bahan masakan dan sebagainya.

5. Apababila mahu kembali semula untuk bertugas, lewatkan sedikit waktu perjalanan balik supaya sempat dibersihkan dahulu rumah ibu bapa yang mahu ditinggalkan.

Basuh tuala, cadar dan selimut yang sudah digunakan itu.

Urusan dobi seperti ini sangat memenatkan ibu bapa yang sudah tua.

Sudahlah mereka penat melayan kerenah anak dan cucu dua tiga hari sebelum itu.

Jika anak-anak membantu urusan seperti ini, tentu senang hati ibu dan ayah.

Jika tidak sempat berbuat begitu, titipkan lah duit bayaran dobi kepada adik- beradik yang tinggal dengan mak dan ayah supaya mereka pun boleh tersenyum lebar mengenangkan adik-beradik yang bertimbang rasa ini.

Selamat balik kampung dan Salam Ramadan Almubarak buat semua.

Saya doakan Allah berkati usaha kita untuk mengisi malam- malam terakhir Ramadan yang mulia ini dengan amal kebajikan yang banyak.

Didoakan juga ibu ayah akan gembira menerima kepulangan kita semua.

Mudah- mudahan Allah redha dengan kita dan tempatkan kita di Jannatul FirdausNya.

Normujaidah Osman.
Dah balik kampung.

Comments

comments