Selepas cuti hari gawai dan hari raya lepas maka kembalilah semula guru-guru dari semenanjung ke pedalaman Kapit untuk menyambung tugas. Tak lupa juga cikgu Karim yang bertugas di SK Lepong Gaat Balleh.
Namun yang menariknya kepulangan cikgu Karim diiringi keluarganya dari Kelantan. Mereka ialah ibubapa dan ibu saudara cikgu Karim sendiri iaitu Siti Patahiah Hj. Yasok, Latifah Hj. Yasok, Mardziah Hj. Yasok dan Tuan Hj. Mohd Nor
Kehadiran mereka ke masuk ke Ulu Balleh ini memberikan sedikit gambaran gusar bagi mereka kerana baru pertama kali datang ke pedalaman.
Bila ditanya perasaan mula-mula sampai di ulu Kapit mereka menyatakan bahawa pada awalnya, rasa takut dan dan gerun apabila kena menaiki bot ekspres yang makan masa yang lama merentasi sungai Rajang dan sungai Balleh. Kemudian terpaksa sambung perjalanan menaiki perahu panjang. Pengalaman pertama apabila naik perahu panjang dalam masa yang begitu lama.
Perjalanan menaiki perahu panjang agak mencabar dan rasa berdoa saja sepanjang perjalanan supaya tidak karam. Perasaan takut makin membuak apabila teringat cerita-cerita daripada kawan yang mengatakan di kawasan ini terdapat banyak sang bedal.
Apabila sampai di SMK Balleh, tidak sangka ada sekolah menengah di kawasan ulu begini. Melihat kepada suasana sekolah SMK Balleh, saya amat kagum dengan sikap pelajar disini apabila dengan tabahnya menunggu bot ekspres sampai kemudiannya menolong guru-guru mereka mengangkat barang. Satu nilai murni yang amat tinggi ada dalam hati pelajar disini.
Sampai di jelatung, terbayang tempat menunggu bas di tempat kita. Tapi jelatung amat unik kerana ia diperbuat daripada kayu-kayu balak yang hanyut dan diikat menjadi tempat menunggu bot ekspres.
Bila diajukan soalan, apakah makcik berasa risau melihat keadaan anak yang bertugas di tempat yang begitu terpencil ? Jawapan yang diberikan ialah “Perkara paling risau adalah jarak perjalanan, kemudahan-kemudahan asas dan kemudahan mendapatkan bahan mentah. Terfikir juga kalua hari hujan, macam mana agaknya perjalanan kami yang membawa dua orang anak kecil. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Cuaca baik sepanjang perjalanan. Saya juga terfikir apa nak buat kalua perahu ini tiba-tiba karam. Berdoa saja lah sepanjang perjalanan. Kami percaya boatman kami amat pakar dan mahir dengan selok belok keadaan sungai disini.
Berkaitan dengan kemudahan asas, kami terfikir macam mana nak dapatkan makanan-makanan halal di kawasan ini? Namun segalanya jauh tersimpang dari apa yang kami fikirkan. Anak saya ada membeli bahan mentah untuk kami disini bagi tempoh masa 3 minggu. Namun begitu, orang Iban amat baik hati. Sampai saja disini, bermacam jenis sayuran dan buah telah diberi kepada kami. Ada juga yang jual. Kami faham keadaan ekonomi dan taraf hidup di ulu sungai. Mereka juga memerlukan duit untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kami membeli apa yang dijual oleh penduduk namun harganya jauh lebih murah berbanding di pekan dan di pasar tempat kita. Rasa bersyukur sangat.
Soalan seterusnya ialah mengenai rumah panjang, apakah pandangan dan perasaan bila pertama kali bertandang ke rumah panjang.
Jawapan yang diberi sungguh menarik hati. Menurut mereka memang berhajat untuk melihat rumah panjang Iban, Kata ibu cikgu Karim, saya teringin sangat nak tengok apabila datang ke sini adalah suasana rumah panjang.
Alhamdulillah kami bertuah kerana dapat diberi peluang untuk melawat ke rumah panjang. Rh.Nyamok, Nanga Serau Sungai Gaat, Balleh. Menaiki perahu selama 15 minit dengan menongkah arus deras di ulu sungai, membuatkan kami makin teruja untuk melihat rumah panjang. Suasana di ulu sungai amat tenang. Kiri hutan,kanan belantara. Atas awan, bawah sungai.
Apabila sampai di rumah panjang, kami terkejut. Terpaksa mendaki 100 anak tangga untuk sampai ke rumah panjang ini daripada jeti bawah. Tidak ada rumah sebegini di Kelantan. Dengan ruai rumah yang panjang, menjadikan kami makin teruja untuk melawat bilik ke bilik. Rumah panjang ini mempunyai 31 pintu. Bermakna terdapat 31 keluarga yang tinggal disini. Namun begitu, separuh daripada mereka telah berhijrah ke bandar untuk mencari kerja. Unsur tradisional disini masih banyak yang dikekalkan.
Saya amat terkejut apabila masuk ke salah satu bilik rumah panjang tersebut. Keluasan yang agak besar, ruang dapur yang agak besar, dan ada sadau (loteng) yang besar.
Pendek kata, bilik ini lebih besar daripada rumah agam di semenanjung. Banyak barang yang diperbuat dariapada hasil hutan terutama daripada rotan. Saya amat tertarik dengan tikar rotan, tampi dan ayut (beg rotan yang dipikul) yang dibuat dengan hasil tangan mereka.
Kawasan rumah panjang ini juga bersih dan teratur. Di bilik tuai rumah, terdapat satu papan kenyataan dan carta organisasi rumah panjang. Pada hemat saya, mereka mempunyai satu struktur yang amat tersusun yang diketuai oleh tuai rumah dan mempunyai beberapa biro/exco.komuniti disini mempunyai organisasi yang lengkap dan teratur. Ternyata rumah panjang Iban di sini sangat cantik dan bersih serta besar. Terang ibu cikgu Karim penuh teruja.
Ok tak penduduk Iban di sini makcik? Saya bertanya… Beliau menjawab … Kebaikan mereka tidak tergambar dengan kata-kata. Orang Iban disini memiliki keluhuran hati, kesantunan budi yang cukup tinggi. Orang Iban disini memang patut menerima pujian. Mereka menyambut kami dengan senyuman dan bersalaman.
Kami dijemput duduk di ruai rumah dan dilayan dengan penuh beradab. Bermacam jenis air kami dijamu. Tuak atau tapai turut dihidang. Walaupun bukan untuk kami. Minuman tersebut untuk rombongan sekolah yang berbangsa Iban tapi mereka cukup menghormati kami. Mereka tahu apa yang kami boleh minum, apa yang kami boleh makan. Mereka menghormati agama kami. Hal ini kerana, mereka cukup faham berkaitan dengan agama Islam apabila sudah ramai anak beranak dan saudara mara yang dah berkahwin dengan muslim.
Daripada muda hingga orang tua, mereka melayan kami seperti keluarga sendiri sepanjang kami berada disana. Memandangkan mereka baru sahaja sambut hari Gawai, semua keluarga menjemput kami masuk ke bilik mereka.
Di sana kami dibawa melihat hasil kerja tangan dan anyaman yang indah. Antaranya kain Pua kumbu. Kami baru tahu kain tenunan orang Iban itu dipanggil pua kumbu. Kain ini bukannya dicetak atau dicanting macam kain batik, ia berbeza sekali.
Saya amat teruja apabila seorang warga emas masih lagi kuat dan terang mata untuk menenun pua kumbu. Dia amat teliti setiap kali menenun benang pua kumbu. Corak tradisioanl Iban yang menarik, dia dengan penuh tekun membuat tenunan satu persatu bunga pua kumbu.
Patutlah harganya mahal, mahu siapkan sehelai pua kumbu pun memakan masa beberapa hari dan ianya 100% hasil juraian jari jemari si tua. Setiap pua kumbu mempunyai corak yang agak unik dan mempunyai maksud tersendiri. Amat berbeza kain songket tenunan Terengganu.
Kesimpulannya gaya hidup masyarakat Iban di ulu sungai jauh sekali berbeza dengan apa yang kita sangkakan. Ada orang cakap, orang Iban tinggal di atas pokok. Semua itu fakta yang jauh menyimpang. Tak tepat sama sekali. Malah ia lebih baik dari rumah kita.
Ketabahan, kesabaran, ketekunan, kerajinan mereka melebihi kita yang di bandar. Ikhtiar hidup yang tinggi membuatkan mereka suku kaum yang disegani di Malaysia. Dibuang ke laut menjadi pulau, dibuang ke pantai menjadi daratan. Mereka membuka mata saya. Mengangkat nilai perpaduan pada tahap nirwana.
Saya akan menceritakan kisah kehidupan yang cukup indah dan harmoni ini kepada rakan-rakan dan saudara mara saya di semenanjung nanti. Inilah lawatan yang mengikat perpaduan antara Cik Siti Wan Kembang dan Bumi Kenyalang.
Demikianlah pengalaman berharga keluarga cikgu Karim yang datang ke Sarawak.
Ooohhhhaaaa Sarawak Nang Chempiyen.